KUALA LUMPUR: Mata wang dalam edaran (CIC) Malaysia meningkat 15.1 peratus pada asas tahunan kepada RM150.1 bilion pada akhir 2021 daripada RM130.4 bilion pada tahun sebelumnya, pertumbuhan tahunan paling tinggi dalam tempoh dua dekad terakhir.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), perniagaan dan isi rumah lebih cenderung untuk menyimpan wang tunai fizikal melebihi keperluan biasa bagi tujuan berjaga-jaga berikutan tempoh pandemik COVID-19 yang berlarutan dan trend sama juga diperhatikan di negara-negara lain di seluruh dunia.

"Bekalan wang tunai turut mencukupi ketika negara dilanda musibah banjir teruk luar jangkaan yang menjejaskan beberapa bahagian negara pada akhir 2021," menurut bank pusat dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Walaupun permintaan untuk wang tunai semakin meningkat, bahagian duit syiling dalam CIC menyusut daripada 5.1 peratus pada 2019 sebelum berlakunya pandemik kepada 4.3 peratus pada 2021, di mana duit syiling tidak mendapat status yang sama dengan wang kertas sebagai simpanan nilai dan medium pertukaran, katanya.

"Melalui pelbagai usaha, khususnya penggunaan mesin deposit duit syiling oleh institusi kewangan di cawangan yang terpilih, sebanyak 60.4 juta keping duit syiling bersamaan 7.6 peratus daripada jumlah duit syiling yang dikeluarkan pada 2021 telah berjaya diedarkan semula," katanya.

Bagi mengekalkan CIC yang berkualiti tinggi, BNM berkata bank telah melupuskan 24.6 peratus daripada jumlah wang kertas yang diproses pada 2021, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.

BNM menjelaskan, dalam mengutamakan pengeluaran wang kertas yang sesuai untuk edaran, 57 peratus daripada 2.72 bilion keping wang kertas yang dikeluarkan pada 2021 ialah wang kertas yang sesuai untuk edaran semula.

"Langkah ini bukan sahaja lebih berkesan dari segi kos, malah dapat mengurangkan jejak karbon memandangkan pencetakan wang kertas turut melibatkan penggunaan intensif sumber air dan tenaga," katanya.

Secara keseluruhan, bank pusat berkata, operasi mata wang di seluruh negara kekal tidak terganggu pada tahun lepas meskipun terdapat cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

"Wang tunai terus tersedia dan boleh didapati oleh perniagaan dan isi rumah, dan pada masa yang sama mengekalkan CIC yang berkualiti tinggi serta kadar pemalsuan mata wang yang secara perbandingannya adalah rendah," katanya.

-- BERNAMA