FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka melantun minggu depan, apabila petunjuk pasaran muncul semula dan pelabur peneraju kembali ke pasaran selepas bercuti panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina, serta sentimen luaran yang positif.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata jumlah dagangan diunjurkan meningkat minggu depan, dengan paras sokongan terdekat kekal pada 1,600 dan 1,610, manakala paras halangan terdekat seharusnya pada 1,640 dan 1,650 (paras pertembungan purata bergerak 20 dan 50 hari).

"FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mungkin membentuk pola turun naik 'Head & Shoulder' terbalik yang kukuh, setelah menguji paras 1,600 sebelumnya pada 22 Januari dan 7 Februari," katanya kepada Bernama.

Pola 'head & shoulder' yang dipercayai merupakan satu daripada pola kebalikan arah aliran yang paling boleh dipercayai, adalah pergerakan indeks yang mencapai puncak tiga kali dalam satu tempoh masa, tetapi pada paras yang berbeza-beza.

Puncak yang kedua adalah lebih tinggi daripada dua yang lain, dan membentuk pola kepala dan bahu manusia.

Mengenai perkembangan global, beliau berkata komitmen Jepun yang disahkan semula, terhadap program mudah tunai besar-besaran, program pembelian aset bernilai 100 trilion yen, dan pengekalan kadar faedah akan menjadi pemangkin terbesar yang akan menyokong sentimen pasaran.

"Kami percaya dasar peluasan Jepun akan meningkatkan mudah tunai, mendorong penurunan nilai yen dan secara tidak langsung merangsang pasaran serantau Asia," katanya.

Beliau berkata faktor-faktor lain yang mungkin menyokong pasaran tempatan ialah keputusan mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Kumpulan Dua Puluh (G20) di Moscow hujung minggu ini.

Beliau berkata data-data yang lemah dari ekonomi anggota G20, yang merupakan penguncupan sebanyak 0.6 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kesatuan Eropah (EU) dan penguncupan KDNK sebenar Jepun pada kadar tahunan 0.4 peratus dalam suku Oktober-Disember daripada tiga bulan sebelumnya, dijangka menjadi pemacu tumpuan bagi mesyuarat itu.

"Agenda utama, iaitu mengurangkan keadaan turun naik pertukaran asing dan menghasilkan dasar ekonomi antarabangsa yang lebih jelas untuk mengharungi krisis kewangan, seharusnya dapat diterima oleh pasaran ekuiti," tegasnya.

Bagi minggu baru berakhir, FBM KLCI bergerak dalam jajaran sempit pada kebanyakan masa kerana kekurangan belian berterusan setelah bermula dengan agak memberangsangkan pada Rabu.

Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa kerana cuti umum sempena Tahun Baru Cina.
Berdasarkan minggu ke minggu, FBM KLCI naik 4.13 mata kepada 1,627.93 daripada 1,623.8 Jumaat lepas.

Indeks Kewangan turun 12.3 mata kepada 14,932.34, manakala Indeks Perusahaan menokok 12.42 mata kepada 2,793.64, dan Indeks Perladangan mengukuh 70.3 mata kepada 7,968.96.

Indeks FBM Emas menambah 49.37 mata kepada 11,069.03, Indeks FBMT100 meningkat 41.46 mata kepada 10,919.54, Indeks FBM70 melonjak 108.72 mata kepada 12,032.8 dan Indeks FBM Ace naik 38.21 mata kepada 4,070.94.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 2.18 bilion unit bernilai RM3.73 bilion daripada 4.902 bilion unit bernilai RM8.048 bilion minggu lepas.

Pasaran Utama mencatatkan penyusutan jumlah dagangan kepada 1.82 bilion saham bernilai RM3.68 bilion daripada 3.938 bilion saham bernilai RM7.937 bilion sebelumnya.

Pasaran Ace menyaksikan jumlah dagangannya susut kepada 320.62 juta saham bernilai RM34.53 juta daripada 794.924 juta unit bernilai RM104.286 juta.

Waran susut kepada 70.55 juta unit bernilai RM3.88 juta daripada 161.560 juta unit bernilai RM9.043 juta.