KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut dalam persekitaran prestasi serantau yang sebahagian besarnya negatif, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.10 mata kepada 1,451.56 daripada 1,457.66 pada Selasa.

Indeks dibuka rendah 5.03 mata kepada 1,452.63 dan bergerak antara 1,450.37 dan 1,456.77 sepanjang hari.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 537 berbanding 423 manakala 440 kaunter tidak berubah, 974 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.56 bilion unit bernilai RM2.51 bilion daripada 3.95 bilion unit bernilai RM2.14 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup kebanyakannya rendah berikutan pelabur berhati-hati menunggu keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dinanti-nantikan mengenai kadar faedah malam ini.

"Jika tiada kejutan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, sentimen tempatan dan serantau boleh menjadi positif," katanya kepada Bernama, sambil menambah People's Bank of China (PBOC) mengekalkan kadar pinjaman penanda arasnya hari ini, seperti yang dijangkakan oleh pasaran.

Di peringkat domestik, Thong berkata kemerosotan hari ini merupakan peluang yang baik untuk belian saham pada harga rendah pada paras yang rendah pada masa depan.

"Kami optimis secara berhati-hati mengenai prospek pasaran berdasarkan pulangan daripada dana asing dan sokongan kukuh daripada institusi tempatan, justeru kami percaya indeks petunjuk pasaran akan melonjak dalam tempoh terdekat.

"Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,450 hingga 1,460 pada sepanjang minggu ini," katanya.

Pada penutup dagangan, kaunter saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan lima sen kepada RM8.86, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.19 dan TNB susut dua sen kepada RM10.12.

CIMB menambah lima sen kepada RM5.62 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.30.

Daripada saham aktif, Ekovest naik 1.5 sen kepada 57 sen, MY EG Services meningkat 2.5 sen kepada 83 sen manakala Iskandar Waterfront City dan UEM Sunrise, masing-masing menambah enam sen kepada 75 sen dan 91 sen.

Malaysian Resources Corp naik dua sen kepada 48.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 10.96 mata kepada 10,755.04, Indeks FBMT 100 berkurangan 16.21 mata kepada 10,420.55 dan Indeks FBM ACE susut 1.80 mata kepada 5,204.13.

Indeks FBM 70 naik 97.57 mata kepada 14,346.28 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 18.53 mata kepada 11,018.46.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 22.04 mata kepada 6,978.71 dan Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian naik 0.72 mata kepada 174.41 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 101.57 mata kepada 16,218.39 dan Indeks Tenaga susut 3.64 mata kepada 904.13.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.49 bilion unit bernilai RM2.23 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM1.86 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran naik kepada 395.36 juta unit bernilai RM53.57 juta daripada 325.42 juta unit bernilai RM47.27 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 662.20 juta saham bernilai RM224.11 juta daripada 880.24 juta saham bernilai RM229.12 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 301.19 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (414.88 juta); pembinaan (326.72 juta); teknologi (231.82 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (62.24 juta); hartanah (665.25 juta); perladangan (39.77 juta); REIT (12.53 juta), dana tertutup (37,800); tenaga (202.50 juta); penjagaan kesihatan (101.09 juta); telekomunikasi dan media (24.13 juta); pengangkutan dan logistik (48.54 juta) dan utiliti (57.59 juta).

-- BERNAMA