KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan semula daripada penurunan semalam pada sesi pembukaan hari ini, disokong oleh aktiviti belian baharu dalam saham wajaran tinggi terpilih berikutan pasaran serantau yang pulih, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.40 mata kepada 1,643.71 daripada 1,639.31 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.39 mata kepada 1,640.70.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 266 berbanding 146 manakala 279 kaunter kekal tidak berubah, 1,721 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 204.34 juta unit bernilai RM105.22 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata perhatian pelabur kekal tertumpu kepada pasaran China dan Hong Kong berikutan kerajaan China melaksanakan beberapa pakej rangsangan untuk memacu ekonomi dan pasaran saham.

Katanya Wall Street berjaya mencatatkan kenaikan semalaman apabila data pekerjaan bukan ladang ADP yang terkini menunjukkan keputusan lebih baik daripada jangkaan.

"Walaupun Wall Street mencatatkan sedikit kenaikan, kami menjangka sentimen negatif akan berterusan di pasaran tempatan menjelang data pekerjaan bukan ladang AS dikeluarkan. Julat semasa ringgit dijangka memberi manfaat kepada sektor berasaskan domestik seperti pengguna.

"Menjelang Belanjawan 2025, kami mencadangkan pelabur untuk melabur dalam sektor pembinaan, hartanah dan utiliti. Selain itu, rancangan Oracle untuk mewujudkan wilayah awan di Malaysia, dengan pelaburan lebih US$6.5 bilion, akan memberi rangsangan kepada sektor teknologi," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing naik 6.0 sen kepada RM10.52 dan RM14.36, Public Bank meningkat 4.0 sen kepada RM4.57, CIMB Group menambah 1.0 sen kepada RM7.99 dan IHH Healthcare merosot 1.0 sen kepada RM7.23.

Dalam kalangan kaunter aktif, OCR Group dan Lay Hong, masing-masing berkurangan 1.0 sen kepada 4.5 sen dan 39 sen manakala Parkson Holdings menambah setengah sen kepada 20.5 sen dan Pegasus tidak berubah pada setengah sen.

Sementara itu, Bursa Malaysia mengumumkan jualan singkat di bawah Jualan Singkat Intra Hari (IDSS) untuk saham Pertama Digital Bhd yang digantung sepanjang hari berikutan harga terakhir sekuriti yang diluluskan jatuh lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.

"Jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan pada hari dagangan berikutnya, Jumaat, 4 Okt 2024, pada 08:30 pagi," katanya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 32.04 mata kepada 12,298.19 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 16.25 mata kepada 12,220.38.

Indeks FBMT 100 menokok 30.43 mata kepada 11,991.45 dan Indeks FBM 70 naik 37.82 mata kepada 17,383.15 manakala Indeks FBM ACE merosot 7.71 mata kepada 5,118.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 95.60 mata kepada 19,260.44, Indeks Tenaga naik 5.99 mata kepada 857.09, Indeks Perladangan merosot 7.84 mata kepada 7,164.21 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.72 mata kepada 176.90.

-- BERNAMA