KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini berikutan kekurangan petunjuk baharu di tengah-tengah pasaran yang lengang menjelang cuti hujung minggu yang panjang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.13 mata untuk ditutup kepada 1,513.11 daripada paras penutup 1,512.98 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.47 mata kepada 1,512.51 dan bergerak antara paras 1,510.20 dan 1,514.05 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 554 berbanding 384 manakala 465 kaunter tidak berubah, 857 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.04 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM2.17 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI naik sedikit berikutan belian lewat dalam saham utiliti dan perjudian.

Beliau berkata lantunan semula di pasaran saham China yang mendapat rangsangan daripada jangkaan peningkatan sokongan kerajaan telah meningkatkan prestasi pasaran serantau.

"Selain itu, penutupan kukuh dagangan di Wall Street semalaman menyediakan petunjuk positif bagi pasaran serantau. Kenaikan di pasaran China diperkukuhkan lagi oleh komitmen Central Huijin, dana kerajaan, untuk meningkatkan pengambilalihan dana diniagakan bursa tempatan, menyokong pasaran saham domestik," katanya kepada Bernama.

Bagi bursa tempatan, Rakuten menjangkakan sokongan belian yang berterusan memandangkan penilaian murah indeks petunjuk pasaran itu dan sokongan berterusan daripada dana asing.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam jajaran 1,510-1,520 bagi tempoh berbaki minggu ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM10.82, CelcomDigi naik lima sen kepada RM4.24, YTL Power melonjak 17 sen kepada RM4.04, Public Bank tidak berubah pada RM4.39, Maybank susut dua sen kepada RM9.29, CIMB turun satu sen kepada RM6.20 dan IHH Healthcare berkurangan tiga sen kepada RM6.14.

Dalam kalangan kaunter cergas, AGX Group yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE naik satu sen kepada 36 sen, Velesto dan TWL tidak berubah masing-masing pada 25.5 sen dan empat sen, Reneuco berkurangan tiga sen kepada lima sen, Minetech turun satu sen kepada 13 sen dan Widad jatuh setengah sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 10.99 mata kepada 11,223.98, Indeks FBMT 100 susut 7.02 mata kepada 10,892.20, Indeks FBM 70 jatuh 42.70 mata kepada 15,117.83, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 28.57 mata kepada 11,240.11 dan Indeks FBM ACE naik 13.54 mata kepada 4,721.60.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah turun 8.22 mata kepada 899.42, Indeks Perladangan susut 7.06 mata kepada 7,167.28 dan Indeks Tenaga jatuh 5.69 mata kepada 872.96.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 13.24 mata kepada 16,948.07 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.76 mata kepada 171.74.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.89 bilion unit bernilai RM1.85 bilion daripada 1.67 bilion unit bernilai RM1.90 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran naik kepada 681.68 juta unit bernilai RM107.78 juta daripada 652.13 juta unit bernilai RM97.66 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 466.52 juta saham bernilai RM124.55 juta berbanding 748.17 juta saham bernilai RM173.48 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 431.28 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (338.91 juta); pembinaan (115.92 juta); teknologi (115.41 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (70.61 juta); hartanah (337.29 juta); perladangan (9.70 juta); REITs (16.92 juta), dana tertutup (2,000); tenaga (185.95 juta); penjagaan kesihatan (96.66 juta); telekomunikasi dan media (34.79 juta); pengangkutan dan logistik (36.72 juta); dan utiliti (101.70 juta).

-- BERNAMA