KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, disokong oleh minat belian yang berterusan dalam persekitaran prestasi Wall Street semalaman bercampur-campur selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan dalam jangkaan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.04 mata kepada 1,613.54 daripada 1,611.50 semalam.

Indeks petunjuk pasaran memulakan hari dagangan dengan meningkat 3.39 mata kepada 1,614.89.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 189 berbanding 136, dengan 283 kaunter tidak berubah, 1,846 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 168.88 juta saham bernilai RM111.59 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, data inflasi AS mencatatkan dalam jangkaan, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan IHP teras, masing-masing meningkat kepada 2.6 peratus dan 3.3 peratus tahun ke tahun.

Katanya berdasarkan persekitaran dolar yang kukuh, ia mengekalkan prospek positif terhadap sektor teknologi dan sarung tangan hari ini.

"Kami turut memilih saham dalam kejuruteraan industri dan sektor berasaskan kecerdasan buatan manakala saham terpilih dalam sektor pembinaan, hartanah dan bahan binaan dijangka mencatatkan pendapatan kukuh, disokong oleh pelaburan pusat data yang berterusan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group naik sembilan sen kepada RM8.29 dan IHH Healthcare meningkat tiga sen manakala Maybank dan Public Bank, masing-masing tidak berubah pada RM10.42 dan RM4.47 serta Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM14.30.

Bagi saham aktif, Life Water naik lima sen kepada 99 sen, Mpire Global meningkat setengah sen kepada 21.5 sen, Johor Plantations menambah tiga sen kepada RM1.28 dan Bumi Armada menokok 1.5 sen kepada 51 sen manakala Aizo Group tidak berubah pada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 14.30 mata kepada 12,178.82, Indeks FBM Emas meningkat 20.33 mata kepada 12,226.04, Indeks FBMT 100 menambah 20.77 mata kepada 11,931.61, Indeks FBM 70 menokok 52.14 mata kepada 17,894.41 dan Indeks FBM ACE naik 1.43 mata kepada 5,143.04.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga melonjak 12.04 mata kepada 833.60, Indeks Perladangan menokok 8.87 mata kepada 7,729.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 33.03 mata kepada 19,224.65 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.46 mata kepada 169.70.

-- BERNAMA