KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras Bursa Malaysia memulakan dagangan tahun 2025 dengan lemah, menjejaki penurunan semalaman dalam pasaran Amerika Syarikat (AS).

Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,636.91, turun 5.42 mata daripada 1,642.33 ketika ditutup pada  Selasa.

Indeks itu pada mulanya dibuka 1.01 mata lebih rendah pada 1,641.32.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti Tahun Baharu 2025.

Sentimen pagi ini sedikit negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 149 berbanding 139.

Sebanyak 300 kaunter kekal tidak berubah, 1,767 tidak diniagakan dan 11 lagi digantung.

Selepas merekodkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun lalu, indeks utama FBM KLCI diunjur melepasi paras 1,800 tahun ini.

Bagaimanapun, ketidaktentuan perdagangan yang semakin meningkat dan potensi peralihan dasar AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump boleh menyebabkan pasaran ekuiti global menjadi tidak menentu dalam tempoh terdekat ini.