Bloomberg Television hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjalin satu perkongsian penting dengan bekas Menteri Malaysia dan pemilik Encorp Group Sdn Bhd dan pengasas ntv7 Dato Sri Mohd Effendi
Norwawi. Bloomberg Television dan Encorp Group akan bekerjasama untuk mewujudkan saluran berita perniagaan yang pertama di Malaysia pada 2014.

Bloomberg Television Malaysia akan menggabungkan sumber-sumber Bloomberg yang tiada tandingan dengan isi kandungan berkualiti keluaran tempatan untuk memperdalam dan memperluaskan liputan aktiviti perniagaan yang bertenaga di Malaysia.

"Sektor perniagaan dan pasaran modal Malaysia telah berkembang pesat sejak kebelakangan ini dan menjadi asas dalam transformasi ekonomi Malaysia. Ia adalah salah satu daripada pusat terbesar di dunia bagi kewangan Islam dan hab yang semakin penting dalam ASEAN untuk industri-industri strategik penting. Ini telah mendorong permintaan global dan tempatan untuk berita perniagaan yang menyeluruh
dari Malaysia, menyediakan satu peluang yang menarik bagi Bloomberg Television Malaysia untuk memainkan peranan dalam memenuhi permintaan itu," kata Parry Ravindranathan, Ketua Bloomberg Television bagi Asia Pasifik.

Dato Sri Effendi berkata, "Kami merasa sangat teruja dan bangga untuk menjalin kerjasama dengan Bloomberg Television di Malaysia, memandangkan nilai prestij jenama berkenaan dan lambang yang diwakilinya. Pasukan saya dan saya sendiriakan berusaha untuk menetapkan piawaian bagi laporan berita perniagaan dalam salah sebuah ekonomi berprestasi terbaik di Asia."

Encorp Group Sdn Bhd akan membina studio-studio Bloomberg TV Malaysia yang serba canggih di Encorp Strand dan akan melahirkan pembaca berita dan wartawan dengan gaya laporan Bloomberg Television yang unik dan dinamik. Penonton Malaysia boleh mengharapkan liputan mendalam mengenai perkembangan perniagaan tempatan serta laporan mutakhir berhubung pasaran kewangan global yang memberi kesan kepada ekonomi tempatan. Tokoh veteran dalam industri media Michael Chan akan mengetuai saluran baharu itu dan sebuah laman sesawang Bloomberg TV Malaysia yang baharu akan dilancarkan untuk penstriman isi kandungan dalam talian dan peranti mudah alih.

Michael Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Bloomberg TV Malaysia berkata, "Bloomberg TV Malaysia akan mengisi ruang di tempat pasaran dengan berita perniagaan yang berkualiti tinggi dan menggerakkan pasaran, di mana maklumat terkini mengenai prestasi dan pencapaian ekonomi dan perniagaan negara ini boleh dilihat oleh 340 juta rumah di seluruh dunia."

"Melalui jalinan kerjasama dengan Encorp Group, Bloomberg Television telah memilih rakan kongsi terbaik yang mempunyai pengalaman penyiaran dan semangat keusahawanan yang tiada tolok bandingnya untuk mendalami liputan perniagaan kami mengenai ASEAN," kata Gary Groenheim, Pengarah Komersil bagi Bloomberg Television, Asia Pasifik.

Perkongsian di Malaysia meneruskan momentum Bloomberg Television di Asia, berikutan pelancaran Bloomberg TV Indonesia dan Mongolia pada tahun lepas dan pelaburan berterusan syarikat itu dalam liputan berita dan pembangunan produk di Malaysia.

Menurut ramalan pakar ekonomi yang dikumpulkan oleh Bloomberg, ekonomi Malaysia disasar berkembang sebanyak 5 peratus pada tahun hadapan, meningkat daripada anggaran 4.5 peratus pada tahun 2013.
Maklumat mengenai Bloomberg Television Bloomberg Television, sebuah rangkaian berita perniagaan dan kewangan pelbagai platform 24 jam yang telah memenangi anugerah, menyediakan liputan yang
berterusan mengenai rakyat, syarikat dan idea yang menggerakkan pasaran global.

Bersiaran dari pusat-pusat mereka di New York, London, Singapura dan Hong Kong dan dijanakan oleh satu pasukan pengumpulan berita yang sukar ditandingi yang terdiri oleh 2,400 wartawan profesional di 150 biro merentasi 73 buah negara di seluruh dunia, Bloomberg Television menyampaikan berita perniagaan tepat masa kepada 340 juta isi rumah di seluruh pelusuk dunia.

Selain pembekal stesen kabel dan satelit utama, Bloomberg.com dan Bloomberg Mobile, rangkaian itu boleh
diperolehi di perkhidmatan Bloomberg Professional, yang digunakan oleh individu, syarikat, institusi kewangan, pelabur paling berpengaruh dan bank-bank pusat di dunia, bank komersil, agensi-agensi kerajaan, golongan undang-undang profesional dan organisasi berita.