KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan menyediakan nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia berjumlah RM44 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata Kerajaan akan terus menyokong usahawan PMKS selaras dengan hasrat Kerangka Ekonomi MADANI.

Keutamaan Kerajaan, tegasnya lagi, adalah untuk menyokong peningkatan kapasiti perniagaan serta daya saing dalam melonjak pertumbuhan pendapatan rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, usahawan mikro dan peniaga kecil disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan TEKUN.

“RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

“RM330 juta di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India. Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, di bawah BNM juga, RM8 bilion dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat PKS.

Daripada jumlah tersebut beliau berkata, sebanyak RM600 juta dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

“Bagi tahun 2024, RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100,000  PKS, merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

Bermula tahun hadapan, Perdana Menteri berkata, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion.

Bagi menyokong fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia pula, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta.

“Tahun hadapan, RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi,” katanya lagi.