KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

Keputusan itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan peruntukan khas untuk perbelanjaan perkhidmatan berjumlah RM107,718,676,650.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, Bajet Mini berkenaan merangkumi pembayaran gaji penjawat awam, utiliti dan biasiswa.

Turut terkandung dalam bajet itu adalah bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Ia akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari depan hingga Bajet 2023 dibentang dan lulus di Parlimen.

Dalam pada itu, Anwar menerusi Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1996 mencadangkan dana bernilai RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera.

Pada 7 Oktober lalu, Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion dibentang Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum Parlimen dibubarkan.