KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak akan menerima peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM9.8 bilion, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, keseimbangan pembangunan antara negeri dan wilayah penting bagi memastikan semua ahli keluarga Malaysia menikmati hasil pembangunan.

"Sabah akan menerima RM5.2 bilion dan Sarawak pula 4.6 bilion bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan.

"Peruntukan ini antaranya adalah untuk melaksanakan projek infrastuktur air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.


BACA SEMUA LAPORAN MENGENAI BAJET 2022 DI SINI

Selain itu, Tengku Zafrul menambah, kerajaan akan memperhebat perkhidmatan bank bergerak di negara ini.

Katanya, sebanyak tambahan 20 bank bergerak dijangka mula beroperasi merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama bersifat komprehensif dan inklusif, selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

Tiga matlamat utama Bajet 2022 adalah melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.