KUALA LUMPUR: Rantau ASEAN terus menjadi destinasi pelaburan yang menyokong dan menarik dalam jangka panjang disebabkan penduduknya yang muda menjanjikan ekonomi yang bersemangat dengan sokongan sektor ekonomi utama seperti komoditi, ladang serta minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Asset Management Malaysia Lim Suet Ling menjelaskan, sebagai ekonomi keempat terbesar dengan lebih daripada 600 juta populasi, ASEAN telah berkembang menjadi lebih terdidik dan mempunyai kelebihan sebagai salah satu pengeluar terbesar dalam rantaian pembekalan global.

"Daripada segi pelaburan langsung asing (FDI), kita lebih murah berbanding China, oleh itu saya percaya FDI akan terus mencurah masuk," katanya dalam sesi panel di Invest ASEAN 2022 yang bertajuk 'Pasaran dan Wang Pintar : Pergelutan atau Kejayaan' hari ini.

Bagaimanapun, bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, Lim berharap akan dapat melihat lebih banyak unikorn internet yang muncul atau disenaraikan.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian perdagangan di kalangan negara -negara ASEAN juga dapat diperkukuhkan dengan memupuk kerjasama yang lebih mendalam untuk mewujudkan peluang pelaburan yang lebih baik.

Lim ketika mengulas mengenai pelaburan, menasihatkan para pelabur agar bertahan disamping terus mengamalkan kewaspadaan dalam pegangan mereka buat masa sekarang berikutan kelembapan dalam jangkaan kenaikan kadar faedah kenaikan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

Mereka berpotensi untuk bergerak lebih jauh ke arah utiliti atau aset yang mempunyai pendapat tetap, ujarnya lagi.

"Sektor pertumbuhan lain termasuk pelancongan dan saham-saham yang berkaitan dengan perubatan tetapi kita bukan sahaja melihat ke arah permodalan yang besar, tetapi juga yang lebih kecil dan di bawah nilai kerana kita percaya wujud peluang yang belum diteroka lagi," kata Lim.

Ketua Pegawai Pelaburan Maybank Islamic Asset Management, Muhammad Riduan Jasni dalam sesi panel yang sama berkata prestasi penerbitan sukuk terbukti lebih berdaya tahan berbanding bon kerana pertumbuhan industri Syariah adalah sangat mengujakan berikutan kesedaran yang lebih tinggi di kalangan negara-negara Islam.

Prestasi sukuk yang disokong dengan penanda aras Islam adalah lebih baik sehingga mampu mengatasi penanda aras konvensional memandangkan pelaburan ini adalah lebih menarik.

"Anda dapat melihat banyak permintaan yang datang daripada korporat, dana pencen dan ini pasti akan membantu memacu pertumbuhan industri," katanya.

Oleh itu, tindakan tersebut akan menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan industri pelaburan Islam di Malaysia.

-- BERNAMA