Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Khazanah Nasional untuk melantik anak watan negara ini berbanding Christoph R. Mueller untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS).
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun bagaimanapun berkata, mereka tidak menolak gandingan pakar antarabangsa dan pakar tempatan mampu memulihkan skim pemulihan MAS.
"Khazanah perlu beri kepercayaan kepada rakyat negara ini sendiri untuk menerajui MAS dan langkah-langkah pemulihannya.
"Kita rasakan aset strategik nasional dan dana RM6 bilion yang akan disuntik Khazanah perlu diurus selia calon kita sendiri," katanya semasa sidang media selepas kunjungan delegasi 100 belia China di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pada Jumaat, Khazanah Nasional mengumumkan pelantikan CEO Aer Lingus, Mueller, iaitu syarikat penerbangan kebangsaan Ireland, Mueller sebagai CEO MAS selain sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.
Dalam pada itu katanya, Pemuda turut percaya calon tempatan lebih memahami keperluan budaya dan cara kerja serta iklim ekonomi negara berbanding warga asing.
"Kita lihat justifikasi pemulihan lebih berbentuk pengurangan kos operasi dan pencarian laluan udara yang lebih menguntungkan.
"Usaha ini akan lebih bermakna dengan bantuan Talent Corp. serta agensi berkaitan," jelasnya.
Tegas Khairul Azwan, seandainya pelantikan ini diteruskan, ia bakal mengundang pelbagai persepsi terhadap kemampuan pengurusan Khazanah sendiri.
"Jika kita bergantung kepada pakar luar, kita khuatir ia menjadi taruhan risiko yang terlalu tinggi.
"Jika perlu juga pakar luar, gunakan kepakaran Mueller sebagai perunding atau penasihat dan kembalikan jawatan CEO kepada rakyat negara ini," katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Mueller lebih sesuai menjadi seorang 'Konsultan' dan bukan jawatan yang akan dipegangnya 1 Januari depan.
Kata Reezal Merican, tenaga dan kepakaran tempatan harus diberikan keutamaan dalam apa jua keadaan selain ia sudah dibangkitkan secara jelas di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu turut disokong bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang berpendapat kepakaran tempatan harus dipilih berbanding kepakaran asing.