Kira-kira 90 peratus daripada sejumlah 3,000 syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) masih ketinggalan di peringkat permulaan biarpun selepas dua dekad kewujudannya.

Ini didedahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood, pada Selasa.

"Mereka ternyata tidak mampu untuk berganjak daripada tahap itu," katanya pada majlis taklimat mengenai strategi globalisasi MDeC bagi 2016, di sini pada Selasa.

Status MSC Malaysia adalah pengiktirafan oleh kerajaan, menerusi MDeC bagi syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan perniagaan dilengkapi kemudahan ICT yang membangun atau menggunakan teknologi multimedia bagi menghasilkan serta mempertingkat produk dan perkhidmatan mereka.

Mengulas lanjut, Yasmin berkata, bagi membolehkan syarikat itu maju, pengusahanya perlu memiliki minda global serta berkeyakinan bahawa teknologi yang dimiliki itu tidak jauh ketinggalan berbanding syarikat di negara maju.

MDeC turut memulakan inisiatif baharu 'Global Acceleration and Innovation Network (GAIN)' atau Program Pecutan Rangkaian Inovasi Global pada November lepas bagi membantu syarikat berpotensi bagi status MSC untuk menjadi penggiat global dan serantau.

Ia juga bertujuan bagi melonjakkan lagi pendapatan syarikat itu kepada RM100 juta setahun.


Akses pasaran

Menurut Yasmin, kira-kira 88 peratus atau 1,413 syarikat teknologi maklumat (IT) di Malaysia memperolehi purata pendapatan kira-kira RM1.4 juta ketika ini manakala 10 peratus atau 170 syarikat berpendapatan kira-kira RM26 juta setahun.

"Hanya kira-kira 24 syarikat atau dua peratus daripadanya berjaya melepasi pendapatan RM100 juta dan perolehan purata RM267 juta," katanya.

Malah, MDec setakat ini sudah mengenal pasti kira-kira 100 syarikat untuk dimajukan menerusi program di bawah GAIN membabitkan bantuan dalam aspek termasuk akses pasaran, keupayaan pembangunan dan modal risiko.

"Namun, asasnya pengusaha syarikat itu perlu ada keinginan untuk maju kerana kehadiran MDeC bukannya untuk membantu mereka secara berterusan, sebaliknya memberi kemudahan bagi melonjakkan perniagaan mereka," katanya.

Teras program GAIN itu, katanya, adalah bagi melancarkan perjalanan syarikat menembusi peringkat global serta impak globalisasi dengan memanfaatkan aspek penting dan secara bersama menerusi MDeC, selain menggunakan rangkaian hubungan kerajaan bagi tujuan itu.

Menurut Yasmin, ini termasuk usaha membawa 21 syarikat berpotensi tinggi ke Lembah Silikon, Amerika Syarikat, baru-baru ini bagi menyelami kejayaan firma terkemuka negara yang dibantu MDeC Americas Inc, entiti di bawah MDeC.