Agoda.com, laman tempahan hotel terkemuka di Asia serta sebahagian daripada Priceline Group yang disenaraikan di Nasdaq, memilih 53 hotel Malaysia sebagai pemenang Anugerah Gold Circle 2014 anjurannya.

Agoda.com dalam satu kenyataan, berkata daripada 500,000 hartanah yang disenaraikan dalam Agoda.com, sejumlah 1,025 telah diiktiraf dengan Anugerah Gold Circle 2014, dengan 53 merupakan hotel Malaysia.

Angka itu menunjukkan peningkatan stabil dari 35 buah pada tahun lepas, katanya.

"Ini mencerminkan peningkatan standard dalam hospitaliti Malaysia dan industri penempahan dalam talian," katanya.

Ia berkata, destinasi dalam Malaysia yang diberikan banyak pengiktirafan termasuk Kuala Lumpur dengan 23 anugerah, Pulau Pinang (enam) dan Sabah (lima).

Naib Presiden Agoda.com bagi Hotel-hotel Antarabangsa, Errol Cooke, berkata anugerah itu yang dianggap sebagai penanda kecemerlangan industri yang diiktiraf akan memberi keyakinan kepada para tetamu bahawa mereka berada dalam hartanah yang sangat bernilai bagi industri hospitaliti dalam talian sebaik sahaja melihat anugerah itu dipaparkan lobi hotel.

"Kami sangat berharap untuk meluaskan hubungan dengan hartanah ini pada masa hadapan," katanya.

Anugerah Gold Circle diberikan kepada hartanah berdasarkan agregat ulasan pelanggan, persaingan dari segi harga, penggunaan Sistem Kawalan Hasil yang yang dibangunkan khas dan pemahaman yang mendalam mengenai kesukaran industri penempahan dalam talian.