Barangan keperluan asas untuk mangsa banjir yang dikumpulkan oleh tenaga sukarelawan iM4U dengan sokongan orang ramai sudah memulakan perjalanan ke Pantai Timur semalam.

Menurut Pengarah Kumpulan Pengurusan Jenama iM4U, Efny Johan, kolaborasi bersama Kelab Kembara Pacuan 4 Roda Selangor itu akan mengagihkan sumbangan berkenaan kepada mangsa banjir di Dabong, Kuala Krai dan Kota Bharu, Kelantan.

“Sebanyak 50 buah trak dan sebuah lori kontena sepanjang 40 kaki yang dipenuhi barangan sumbangan orang awam sudah digerakkan dari pusat pungutan kami di ibu negara.

“Penghantaran seterusnya adalah pada 2 Januari nanti iaitu sebanyak 100 khemah dan 3,500 beg tidur serta 500 kotak Nasegera (nasi lemak dan nasi goreng) akan dihantar dengan disertai iM4U Street Team merentasi laluan Temerloh, Pekan, Kemaman dan Dungun,” ujar Efny.

Tambahnya, pada 8 Januari pula sejumlah 3,500 unit khemah dan 2,000 beg tidur serta 500 kotak Nasegera akan dihantar lagi dan pihak iM4U mengalu-alukan penyertaan lebih ramai sukarelawan untuk membantu urusan pembungkusan di pusat pungutan mereka iaitu di Pusat Simulasi, Kompleks Sukan Bukit Kiara yang dibuka 24 jam.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi iM4U, terdapat sebuah lagi pusat pungutan barangan disediakan iaitu di Founder’s Lab, Kompleks Lucky Garden, Bangsar yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

mangsa banjir
(Efny Johan menggalakkan lebih ramai pihak tampil memberi sumbangan mahupun menawarkan diri sebagai sukarelawan demi membantu meringankan beban mangsa banjir. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid)


Penyertaan menggalakkan

Tinjauan krew Astro AWANI ke Kompleks Sukan Bukit Kiara baru-baru ini menyaksikan aktiviti pengumpulan dan pembungkusan barangan berjalan lancar dengan penyertaan ramai sukarelawan.

Bagi penyampai radio iM4U.fm, Lim Sern Liang atau TylerBoy, dia bersama rakan-rakan sukarelawan lain telah ‘berkampung’ di situ sejak 24 Disember lalu untuk menguruskan sumbangan orang ramai.

“Kami sentiasa bersiap sedia dan berjaga di sini dan setakat ini kami menerima sumbangan barangan yang tidak putus. Malah, ada yang datang untuk menghantar sumbangan pada jam 4 pagi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penyumbang, Liza Manshoor bersama rakannya telah datang dari Segambut untuk menyokong program berkenaan.

“Kami memang sudah terangkai dan berhubung melalui saluran komunikasi program OutReach iM4U. Kami akan memanggil lebih ramai tenaga sukarelawan untuk terlibat dalam program ini demi membantu mangsa banjir,” ujarnya yang datang menyampaikan sumbangan makanan.

Dalam tinjauan tersebut, pusat pungutan barangan di Kompleks Sukan Bukit Kiara turut disertai ramai sukarelawan dari kalangan penuntut Kolej Komuniti Selayang.

mangsa banjir
(Sukarelawan dari Kolej Komuniti Selayang sedang mendengar taklimat di Pusat Simulasi, Kompleks Sukan Bukit Kiara. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid)
mangsa banjir
(Sukarelawan iM4U di pusat pungutan barangan Kompleks Sukan Bukit Kiara menerima sumbangan orang ramai tidak kira waktu. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid)