Inilah Robben Island, atau lebih dikenali sebagai pulau Mandela. Nelson Rohilala Mandela atau Madiba (nama panggilan beliau di kalangan rakyat Afrika) dihantar ke sini untuk dipenjarakan dari tahun 1964-1982, sebelum beliau dipindahkan ke Pollsmoor Prison.
Lantang mengkritik dasar Apartheid menjadikan beliau individu yang paling dibenci oleh penyokong Parti Kebangsaan (National Party) atau ‘white supremacy’. Bukan sejarah yang ingin saya kongsikan di sini, sebaliknya pengalaman menjejakkan kaki ke pulau yang dahulunya pernah menempatkan pesakit-pesakit kusta dari bandaraya Cape Town.
Inginkan pemandangan indah, pantai berpasir putih, berenang di laut biru atau beriadah mandi-manda bersama teman? Sekiranya anda hanya ingin menikmati pemandangan indah, pantai berpasir putih, berenang di laut biru atau beriadah mandi manda bersama teman di Robben Island, sila lupakan atau batalkan sahaja hasrat anda untuk ke sana.
Pastikan buku sejarah atau Wikipedia menjadi peneman setia jika anda bercadang untuk melihat pulau ini. Ia menjadi antara destinasi ‘mesti kunjung’ sekiranya anda melawat ke bandaraya Cape Town. Mana tidaknya, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Afrika Selatan dan perkataan ‘Apartheid’ ke mata dunia pernah menghuni pulau ini selama 18 tahun.
Untuk ke sana saya menaiki feri dari jeti ‘Waterfront’ di pusat bandaraya Cape Town dengan bayaran 230 Rand atau RM115. Ia termasuk tiket feri pergi balik dan caj masuk ke pulau tersebut. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 20 hingga 30 minit sahaja. Pemandangan indah Cape Town yang berlatar belakang Table Mountain lebih terserlah sebaik sahaja anda menjejakkan kaki ke feri sewaktu dalam perjalanan ke Pulau Robben. Setibanya di jeti pulau tersebut, ‘African penguin’ akan menyambut kehadiran anda dan mengucapkan selamat datang kerana pulau ini sememangnya dipenuhi oleh spesis tersebut.
Setibanya di pintu masuk pulau ini, bas pelancong sudah bersedia untuk membawa pelawat melawat ke sekitar pulau beserta pemandu pelancong. Sebelum ke penjara utama (tempat Mandela dipenjarakan), bas akan membawa anda membuat satu pusingan pulau di mana kita akan melalui kubur lama, kawasan kerahan banduan, sekolah, gereja dan kawasan perumahan kecil yang menempatkan warden dan pekerja penjara. Boleh dikatakan pekan kecil wujud di Robben island.
Apabila bas berhenti di penjara utama, semangatnya memang berbeza. Saya tidak pernah melawat penjara apatah lagi dipenjarakan, tetapi apa yang boleh saya terjemahkan adalah penjara di sini agak bersih dan tersusun kemas. Salah satu faktornya mungkin kerana ia merupakan sebuah muzium sekarang. Jauh sekali dari keaadaan daif yang kita selalu dengar atau tonton di filem-filem.
Penjara di sini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu dorm yang menempatkan enam hingga dua belas banduan. Manakala penjara individu menempatkan ketua-ketua penentang dasar Apartheid termasuk Mandela.
Boleh dikatakan semua pengunjung yang melalui bilik kecil yang pernah menempatkan Mandela pasti akan berhenti lebih lama berbanding sel-sel yang lain. Ada yang cuba menyelami apa yang dilalui Mandela sewaktu beliau menjadi penghuni bilik tersebut, ada juga yang merakamkan foto untuk dimuat naik ke Facebook atau Instagram.
Melakukan yang sama, memang saya mengaku merakamkan foto yang banyak sewaktu berada di dalam penjara itu dan dalam waktu yang sama saya cuba untuk membayangkan bagaimana Mandela melalui hari-harinya di sel ini selama 18 tahun.
Bayangkan cuma sebuah jendela kecil dengan pemandangan batu konkrit tempat banduan berkumpul menjadi layar kanvas dunia luar buat Mandela.
[Klik Galeri Foto Menjejak tapak Mandela di Pulau Robben untuk foto selanjutnya.]
Tiada katil disediakan, cuma selimut nipis yang menjadi alas. Dalam suasana cuaca yang agak sejuk, apa lagi yang boleh saya katakan mengenai kesengsaraan yang dilalui oleh beliau.
Suasana cuaca sejuk yang saya alami sewaktu berada di sana pada bulan November bukanlah kemuncak cuaca sejuk di Afrika Selatan, sebaliknya musim dingin di sana adalah pada bulan Jun. Sukar untuk saya bayangkan bagaimana banduan-banduan ini berhadapan dengan kesejukan di penjara ini ketika itu.
Kami dibawa ke satu kawasan yang dikatakan menjadi tempat banduan-banduan dikerah. Tugas mereka adalah memecahkan batu-batu besar yang ada di sekitar pulau itu. Yang menariknya terdapat ketulan-ketulan batu dikumpul di satu kawasan di pulau tersebut. Apabila saya bertanya kepada jurupandu pelancong kami, dia menceritakan bagaimana ia dimulakan oleh Mandela sendiri. Madiba telah meletakkan batu yang pertama sebagai simbolik tahanan politik yang ditahan di penjara itu dan setiap kali tahanan baru datang ke penjara tersebut, mereka akan meletakkan satu batu. Akhirnya ia menjadi sebuah monument di Pulau Robben.
Seperti yang saya katakan dari segi pemandangan atau keindahan, pulau ini biasa-biasa saja. Namun sejarahnya itu telah membuat perubahan yang sangat besar kepada dunia. Saya merasa cukup bertuah apabila berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Pulau Robben, sedikit sebanyak saya dapat mengenali dengan lebih dekat siapakah individu di sebalik nama Nelson Mandela yang cukup gah di seluruh dunia.
Sekaligus memahami mengapa beliau memenangi lebih dari 250 anugerah dari seluruh dunia termasuk Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1993, Medal of Freedom daripada Presiden Amerika Syarikat dan Order of Lenin dari Soviet Union.
Nelson Mandela telah mengorbankan dua puluh tujuh tahun daripada hidupnya di sini bagi memastikan masa depan yang lebih cerah buat negaranya, Afrika Selatan.
Setelah beberapa bulan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat akibat jangkitan paru-paru, Nelson Mandela yang berusia 95 tahun akhirnya menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Johannesburg pada Khamis, 5 Disember.
Seluruh dunia meratapi pemergiannya termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan mendiang seorang sahabat sejati. Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma turut mengumumkan pengebumian negara Nelson Mandela akan diadakan pada 15 Disember di kampung halamannya. Mayatnya akan diarak selama tiga hari untuk penghormatan rakyat.
UBUNTU…kata Mandela!
[Klik Galeri Foto Menjejak tapak Mandela di Pulau Robben untuk foto selanjutnya.]