Mereka yang menyatakan Hudud melanggar Perlembagaan dan perlu dipinda jika sistem perundangan Islam tersebut ingin dilaksanakan berpegang kepada beberapa hujah. Antaranya adalah hujah kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwa Raya (1988) 2 MLJ 55 yang mana Mahkamah Agung menyatakan bahawa tafsiran Islam dalam Artikel 3(1) Perlembagaan hanya bersifat istiadat (ceremonial) semata-mata berdasarkan niat penggubal Perlembagaan dan bukannya Islam sebagai Ad-Deen (sistem kehidupan).

Justeru, menurut hujah ini, Hudud yang termasuk dalam sistem jenayah Islam melangkaui makna Islam yang diniatkan oleh penggubal Perlembagaan yang hanya bersifat ritual dan istiadat.

Sehubungan itu, jika Hudud dilaksanakan, ia akan melanggar Artikel 4 (1) dan sekaligus bercanggah dengan kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara ini. Rumusannya, mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan sebarang peruntukan dalam Perlembagaan adalah tidak sah dan terbatal.

Pada hemat saya, hujah yang menggunakan keputusan Mahkamah Agung itu adalah tafsiran yang sempit terhadap makna Islam dalam Perlembagaan selain merupakan hujah yang rapuh dan boleh disangkal dengan beberapa fakta.

Pertama, berhubung prinsip tafsiran Perlembagan. Apa yang perlu difahami adalah Perlembagaan bukan undang-undang biasa seperti Akta Parlimen atau Enakmen Negeri. Perlembagaan adalah sui juris iaitu sebuah dokumen yang berdiri sendiri.

Banyak keputusan mahkamah dalam negara ini yang memutuskan prinsip iaitu apa-apa keputusan berkaitan tafsiran Perlembagaan oleh mana-mana mahkamah hatta mahkamah yang paling tinggi dalam negara ini, tafsiran itu tidak akan mengikat mana-mana mahkamah lain dalam negara.


Tafsiran

Hal ini bermakna, sekiranya Mahkamah Agung pernah menafsirkan bahawa Islam dalam Artikel 3 bukan bermaksud ad-Deen, maka keputusan itu tidak akan mengikat mana-mana mahkamah lain selepas keputusan itu dibuat. Ertinya, jika ada mahkamah selepas ini yang tidak mahu mengikut tafsiran Mahkamah Agung tersebut, ianya tidak salah kerana prinsip stare decisis (keputusan Mahkamah mengikat) tidak terpakai dalam menafsir Perlembagaan.

Kedua, tafsiran Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh berkaitan makna Islam dalam Artikel 3 adalah tafsiran yang salah. Dalam Artikel 160 yang menyentuh tentang tafsiran, tiada tafsiran mengenai perkataan Islam.

Begitu juga tiada tafsiran mengenai perkataan Islam dalam Akta Tafsiran 1948. Dengan ketiadaan tafsiran itu, maka adalah pelik jika tiba-tiba Mahkamah Agung menafsirkan perkataan Islam dengan sewenang-wenang dan arbitrari sebagai bermaksud adat istiadat atau ceremonial semata-mata dan bukan sebagai ad-Deen.

Memandangkan Islam tidak ditafsirkan dalam Perlembagaan atau Akta Tafsiran, maka untuk menafsirkan Islam mahkamah perlulah merujuk kepada khazanah Islam iaitu kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh para ulama mengenai makna sebenar Islam. Tafsiran yang diberikan oleh Mahkamah Agung adalah tidak betul. Maka, bagaimanakah tafsiran yang salah itu boleh dan wajar dipertahankan?

Jika Mahkamah menafsirkan makna Islam dalam Perlembagaan dengan tafsiran yang betul, maka bukan sahaja kita tidak perlu meminda Perlembagaan untuk dilaksanakan di Kelantan, malah Akta Bidang Kuasa Mahkamah Syariah 1965 (juga digelar Akta 356) yang mengehadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah setakat boleh menjatuhkan hukuman 356 iaitu 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 sebatan adalah juga tidak sah kerana menyalahi makna Islam dalam Perlembagaan.

Jika Islam dalam Perlembagaan ditafsir sebagai al-Deen maka ia turut merangkumi sistem jenayah Islam iaitu Hudud, Qisas dan Takzir yang mempunyai asasnya dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.


Perlembagaan tidak menghalang Hudud?

Bagi saya bukan Perlembagaan yang menghalang perlaksanaan hudud, sebaliknya adalah kesilapan menafsirkan Islam dalam Perlembagaan itu sendiri. Jika tafsiran Islam dalam Perlembagaan diberikan dengan betul dan tepat, maka Perlembagaan tidak perlu dipinda bagi perlaksanaan hudud.

Sebenarnya Akta 356 diwujudkan kerana berlaku kesilapan dalam menafsirkan makna Islam dalam Perlembagaan. Jika Islam ditafsir betul, maka bukan hudud yang bercanggah dengan Akta 356 atau Perlembagaan, sebaliknya Akta 356 itu yang melanggar Perlembagaan.

Keempat, jika kita merujuk Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu pada Perenggan 1 Senarai Negeri, ada dinyatakan secara jelas bahawa yang termasuk dalam senarai negeri itu adalah hukum syarak (Islamic law) yang kemudiannya diperincikan antara lain undang-undang kekeluargaan seperti perkahwinan, penceraian, hadhanah, wasiat, harta pusaka dan sebagainya.

Mereka yang berpegang kepada tafsiran sempit menyatakan bahawa meskipun disebut dalam senarai itu adalah hukum syarak, perincian selepas perkataan hukum syarak itu menunjukkan bahawa hukum syarak itu hanya merangkumi undang-undang kekeluargaan dan harta benda sahaja tanpa melibatkan undang undang jenayah iaitu hudud atau qisas. Tafsiran seperti ini dalam undang-undang dipanggil sebagai ejusdem generis (menghadkan atau mengkhususkan benda yang umum).

Saya katakan perkataan hukum syarak dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan adalah kalimah yang umum tetapi jelas dan perkataan itu tidak boleh dihadkan, maka prinsip esjudem generis tidak terpakai.

Hal ini kerana jika dilihat kepada Artikel 74 (4) jelas dinyatakan bahawa keluasan ungkapan am dalam Jadual Kesembilan tidak boleh dihadkan oleh mana-mana ungkapan khusus.

Justeru, jika digunakan ungkapan hukum syarak yang bersifat umum dalam Jadual Kesembilan, ia tidak boleh dihadkan kepada undang-undang kekeluargaan semata-mata.

Maka, undang-undang Islam atau hukum syarak dalam Jadual Kesembilan adalah merangkumi hudud dan jika hudud dilaksanakan di Kelantan, ia adalah termasuk dalam Senarai Negeri yang mana Kelantan mempunyai bidangkuasa untuk menggubal dan melaksanakan Hudud yang mana ia mematuhi Perlembagaan.

______________________________

* Mohamed Hanipa Maidin ialah Ahli Parlimen Sepang.
* * Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.