HANS Christian Andersen terkenal kerana menulis cerita-cerita dongeng. Dia malah jadi lebih terkenal selepas kematiannya. Andersen yang lahir pada 2 April 1805 dan meninggal dunia pada umurnya 70 tahun.

Seperti halnya yang diungkapkan oleh Goenawan Mohamad pada kematian penyair Indonesia, W.S. Rendra, tokoh seperti dia tak pernah mati. Kalau Rendra "memberi kita puisi", Andersen meninggalkan kepada kita segerobok cerita-cerita dongeng. Daripada cerita-cerita dongengnya, Andersen terus hidup dari zaman ke zaman, dari satu generasi ke satu generasi.

Tetapi orang lebih kenal watak dalam cerita-ceritanya berbanding dirinya sendiri — puteri duyung yang sanggup jadi buih laut kerana cinta kepada seorang putera raja; budak perempuan penjual mancis yang mati kesejukan dalam salji malam tahun baru; anak itik hodoh yang rupa-rupanya besar menjadi angsa; maharaja telanjang yang ditipu oleh menteri-menterinya dan dimalukan oleh seorang budak di tengah khalayak.

Kerana lebih kenal watak-watak itu, kita tidak peduli tentang Andersen dan terlupa bahawa hidupnya sendiri tidak ubah seperti dongeng. Ibunya tukang cuci pakaian yang mengambil upah daripada hartawan; bapanya, tukang kasut. Mereka mungkin hidup miskin tetapi kaya budaya. Ayahnya tidak pernah mahu kemiskinan harta itu menjadikan anaknya miskin jiwa.

Ayahnya selalu menghibur Andersen dengan bercerita kepadanya dongeng Hikayat Seribu Satu Malam. Selebihnya, ada dua perkara yang dia ajarkan: pertama, semua benda ada wataknya tersendiri sama seperti manusia dan kedua, dia mengajar Andersen membuat patung kecil yang jadi alat permainan. Andersen tumbuh menjadi anak yang luas ufuk khayalannya. Dua pelajaran itu kemudiannya jadi sangat berguna apabila dia dewasa dan mula menulis cerita-ceritanya.

Tetapi umur ayahnya tidak panjang -- barangkali kemiskinanlah yang meragut nyawanya. Dek miskin, ayahnya jadi askar kerana perang memberikannya upah tetap. Tetapi perang juga membunuhnya. Dia pulang dari medan perang, jatuh sakit dan meninggal dunia ketika Andersen berumur 11 tahun.


Patung Hans Christian Andersen di tengah Copenhagen, Denmark. — Foto AFP/ Ola Torkelsson
Patung Hans Christian Andersen di tengah Copenhagen, Denmark. — Foto AFP/ Ola Torkelsson


Andersen masuk sekolah tetapi tidak betah lama. Dia juga tidak betah tinggal di Odense, kota kelahirannya kerana -- seperti cerita anak itik hodoh yang ditulisnya bertahun-tahun kemudian, Andersen adalah angsa yang akan terbang tinggi. Dia hijrah ke Copenhagen dan mencuba nasib di panggung-panggung teater.

Di panggung teater itulah bakatnya sebagai penulis mula ternampak. Dia diberitahu masa depannya bukan dengan jadi pelakon atau penyanyi; masa depannya ialah menulis. Untungnya Andersen, ada orang yang membiayainya masuk sekolah -- belajar menulis, belajar bahasa. Pada umurnya 17 tahun, dia duduk sekelas dengan mereka yang jauh lebih muda daripadanya.

Tetapi di sekolah itu Andersen hilang kebebasannya kerana dia tidak lagi dibenarkan menulis puisi yang jadi kegemarannya ketika itu. Dia juga menempuh kehidupan yang sangat merimaskan dirinya — hidup dengan keluarga angkat yang terlalu mengongkong. Hatinya meronta mahu bebas dan tidak lama kemudian, setelah tamat sekolah, kebebasan itu dikecapinya semula. Dia mengembara melihat dunia.

Andersen mula menulis catatan perjalanan dan selebihnya, terus menulis puisi. Tetapi bukan catatan perjalanan atau puisi itu yang menyebabkan dia terkenal sehingga sekarang sebaliknya cerita-cerita dongeng yang terbit ketika umurnya 30 tahun. Cerita-cerita dongeng yang dituang dengan sebahagian daripada pengalaman hidupnya itu menukar hidup Andersen dalam sekelip mata — dongeng yang jadi nyata.

Selepas lebih 150 tahun cerita-cerita itu ditulis, sesetengah cerita Andersen itu bukan lagi dongeng semata. Seperti puteri duyung, memang ada yang sanggup meninggalkan segala-galanya untuk mati sia-sia kerana cita-cita yang tidak kesampaian. Hidup Andersen sendiri tidak ubah seperti anak itik hodoh yang sebenarnya angsa. Selebihnya, memang ada maharaja yang asyik dengan baju barunya sehingga tidak sedar dirinya telanjang.