BULAN April yang dramatik. Terdapat enam pilihan raya berlangsung di dunia pada bulan keempat dalam kalendar 2014. Kalau itu tidak cukup dramatik, pertimbangkan bahawa satu bilion penduduk dunia terlibat dalam proses demokrasi itu. Maka, enam pilihan raya itu yang diadakan di India dan Indonesia, antara demokrasi terbesar dunia selepas Amerika Syarikat, Afghanistan, Iraq, Algeria dan Hungary dipantau penuh minat dan perasaan bercampur-campur.



Sifat politik rencam
Walaupun India dan Indonesia dipersetujui pilihan raya paling mendapat tumpuan, radar tulisan ini terarah untuk melihat pasca pilihan raya Afghanistan. Kenapa Afghanistan? Atas sifat politiknya yang rencam, asal komunis semasa era Kesatuan Soviet, kemudian bertukar tampuk Islam ekstrem ketika Taliban dan agak sederhana sepanjang pemerintahan Hamid Karzai, sukar untuk tidak bersetuju bahawa Afghanistan antara negara Asia Selatan yang menarik untuk disoroti.

Afghanistan
Ashraf Ghani antara calon yang bertanding untuk menggantikan presiden Hamid Karzai - Foto AFP

Pada masa ini, Amerika Syarikat dan negara sekutunya melihat dengan rapat dan dekat perkembangan pasca pilihan raya Afghanistan yang berlangsung 5 April lepas. Ini kerana Washington dan London tanpa terkecuali jiran terdekat Pakistan dikatakan berasa bertanggungjawab untuk menjadikan Afghanistan sebagai sebuah negara yang berjaya.

Dalam era sejak Hamid Karzai mentadbir atau lebih khusus selepas insiden 11 September 2001 apabila Taliban dijatuhkan, sudah pasti, kejayaan pembangunan Afghanistan akan mendatangkan kesan besar kepada dunia, khususnya negara-negara Islam. Dengan bantuan masyarakat antarabangsa, Afghanistan mungkin boleh menjadi negara yang berjaya, maju dan contoh kepada negara-negara dunia ketiga yang lain termasuk negara Islam.

Nilai-nilai moden
Benar, sejak 2001 lagi Amerika dan sekutu-sekutunya mahukan sebuah Afghanistan yang memiliki nilai-nilai moden seperti demokrasi dan hak asasi manusia. Ya, AS dan dunia Barat barangkali menginginkan Afghanistan menjadi sebuah negara sekular, liberal dan demokratik. Tetapi AS juga tahu realiti dunia Islam menuntut mereka menghormati tradisi dan agama Islam. Justeru, ia sendiri tidaklah mahu Afghan meninggalkan tradisi Islamnya.

Ghani
Bekas Menteri Luar, Dr Abdullah Abdullah membuang undi dalam pilihan raya yang lalu - Foto AFP

“Kekukuhan amalan agama rakyat Afghanistan merupakan realiti malah kekuatan yang memberi kemenangan kepada Mujahidin hingga mampu mengalahkan Kesatuan Soviet dahulu. Amalan agama ini jugalah yang membawa kepada pemerintahan Taliban. Begitu juga, kekuatan Perikatan Utara di bawah inspirasi kepimpinan Allahyarham Ahmad Masoud jugalah yang membawa kepada kewujudan kerajaan sementara Afghanistan sekarang ini,’’ kata penganalisis Asia Selatan, Dr Azharuddin Mohamed Dali ketika kami berbincang mengenai skala besar pilihan raya yang diadakan pada April, tidak terkecuali yang berlangsung di Afghanistan.

Kata Dr. Azharuddin lagi, sebab itu, kerajaan Afghanistan pimpinan Hamid Karzai sebelum ini menegaskan bahawa undang-undang negara itu meliputi nilai-nilai Islam, tradisi Afghan dan mengikut piawai antarabangsa. Apa yang dimaksudkan bekas Presiden itu ia merangkumi liberalisme, sekularisme dan demokrasi tetapi terpaksa dibentuk menurut kehendak Islam dan adat Afghanistan.

Model negara Islam
Dengan perkembangan itu, maka dapat dijangka pula, model yang dicari-cari untuk pembentukan Afghanistan sebegitu. Apa yang penting mengikut hemat AS dan sekutunya, Afghan menjadi model negara Islam tetapi tidak terjerumus kepada cara pemikiran Taliban. Paling dekat model yang mirip ialah Turki yang dianggap oleh banyak pakar AS sebagai contoh negara Islam yang tidak bercanggah dengan sekularisme, liberalisme dan demokrasi. Apa yang mereka tidak tahu, Turki bukan satu-satunya negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di dunia. Mereka tidak sedar bahawa terdapat negara Islam lain yang turut mengamalkan demokrasi dengan berjaya iaitu Malaysia, Indonesia dan Bangladesh.

Saya dan Dr Azharuddin turut bertukar-tukar buah fikiran mengenai politik Afghanistan dan kesannya pasca pilihan raya. Dari segi politik, Dr Azharuddin dan saya senada bahawa Afghanistan mungkin mudah untuk mencapai kejayaan dengan campur tangan AS dan masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara jirannya seperti Pakistan, Iran, Tajikistan dan Uzbekistan, di mana kesemuanya mempunyai kepentingan nasional dan etnik.

“Apa yang lebih sukar lagi ialah masalah ekonomi Afghanistan,’’ kata Dr Azharuddin sebelum menambah, kerajaan-kerajaan AS, Eropah dan Rusia akan membantu membangunkan Afghanistan yang baru kerana kemakmuran negara itu akan memberi kesan baik bukan saja kepada rantau Asia Tengah tetapi dunia keseluruhannya. Logiknya mudah, jika mereka gagal, Afghanistan boleh menjadi ancaman semula kepada Asia Tengah dan dunia. Mudah kata, masyarakat antarabangsa mempunyai kepentingan besar untuk memastikan Afghanistan benar-benar bangkit dan berjaya.

Kepentingan strategik
Jika Afghanistan makmur, turut akan merasa untung ialah Pakistan, Iran, Rusia, China dan negara-negara bekas Soviet Union di Asia Tengah. Kepentingan strategik Afghanistan terletak kepada negara itu yang boleh menjadi laluan darat dan minyak serta gas kepada semua negara jirannya. Apabila ekonomi Afghanistan berjaya, ia akan menjadi model negara Islam untuk seluruh dunia mencontohi. AS mempunyai kepentingan besar bagi memastikan model Afghanistan ini berjaya. Malah keseluruhan dunia Islam sedang menyaksikan apa yang akan dilakukan oleh AS itu,sama ada berjaya atau gagal.

Paling untung tentunya AS kalau ia berjaya. AS dan sekutu-sekutunya mungkin sudah menimbangkan untuk melakukan sesuatu yang serupa ke atas Iraq dan Somalia. Jika sebuah kerajaan sementara boleh diwujudkan di Afghanistan, mengapa pula ia tidak dapat diwujudkan di Iraq dan Somalia.

Afghanistan
Tanpa kehadiran tentera asing di bumi Afghanistan mampukah keamanan dicapai? Satu cabaran besar buat bakal presiden negara itu - Gambar AFP

Berjaya atau tidak model yang dimahukan AS dan sekutu-sekutunya itu kini beralih menjadi warisan masalah kepada Presiden selepas Hamid Karzai. Pada masa ini, bekas Menteri Luar, Dr Abdullah Abdullah mendahului kiraan undi diikuti Ashraf Ghani, bekas Menteri Kewangan. Jalannya mungkin lebih mudah jika anak didik Hamid , Zalmai Rassoul menang tiket Presiden. Namun Zalmai, bekas diplomat yang berketurunan diraja hanya boleh berpuas hati di tempat ketiga dan mungkin tidak akan melangkah ke pusingan seterusnya pada 28 Mei ini.

Penipuan pilihan raya
Sudah pasti hubungan dengan AS, soal etnik, jalinan dengan Taliban, isu keselamatan tidak akan sama lagi ditangani antara Hamid dan penggantinya. Apa lagi yang dijangkakan nanti penggantinya ialah Dr. Abdullah. Beliau pernah kecewa kerana dakwaan penipuan pilihan raya pada 2009 menyebabkannya terpaksa beralah kepada Hamid. Hamid dipilih semula, beliau hanya di tempat kedua. Seperkara lagi, Dr Abdullah ialah campuran etnik Pastun dan Tajik, tetapi dilihat lebih kuat kepada Tajik . Sejak sekian lama kalangan etnik Pastun mendominasi politik Afghanistan. Hamid ialah pemimpin etnik Pashtun.

Perubahan baru dan kesan dramatik tetap dijangkakan daripada pasca pilihan raya Afghanistan selepas Hamid Karzai bukan lagi Presiden di negara yang populasinya berjumlah 31 juta itu.