Tiada sambutan Ambang Merdeka di peringkat Negeri Sembilan pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kalau sebelum ini, sambutan Ambang Merdeka diadakan dengan penuh meriah termasuk penganjuran konsert dan pertunjukan bunga api, tetapi tahun ini tiada, supaya tidak dianggap berlebih-lebihan.

"Sebelum ini, memang kita sambut mengira detik 31 Ogos dengan cukup meriah, namun pada sambutan di ambang kemerdekaan yang ke-57, hanya skrin besar disediakan bagi tontonan orang ramai," katanya kepada pemberita di sini pada hari Rabu.

Sementara itu, Mohamad berkata perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan di padang Majlis Perbandaran Seremban di sini akan diadakan seperti biasa.

Katanya pada kali ini terdapat banyak badan bukan kerajaan (NGO) Negeri Sembilan memohon untuk mengambil bahagian dalam acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kemerdekaan 2014 pada 31 Ogos.

"Bagi NGO yang sudah lama bersama kita, memang mereka akan dijemput... tetapi setiap kontinjen dan peserta yang dipilih untuk menyertai perarakan adalah berdasarkan kepada mereka yang menepati tema Hari Kemerdekaan tahun ini," katanya.