Keluarga dan peminat program realiti "America's Next Top Model" (ANTM) digemparkan dengan berita kematian salah seorang bekas peserta, Mirjana Puhar yang ditemui mati ditembak di kediaman teman lelakinya, pada Selasa.

Model berusia 19 tahun itu ditemui mati di samping teman lelakinya, Jonathan Cosme Alvarado, 23 tahun, dan seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Jusmar Isiah Gonzaga-Garcia, 21 tahun.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di kediaman Alvarado, di Charlotte, Utara Carolina.

Dalam kenyataan bertulis pada Rabu, penerbit dan juri ANTM, Tyra Banks serta penerbit bersama, Ken Mok mengesahkan Mirjana adalah peserta dalam rancangan itu pada 2014.

Banks menyifatkan Puhar sebagai wanita muda berbakat yang penuh semangat.



Salah seorang juri dan mentor peragaan, Miss J Alexander juga memberi tanda ingatan di laman Twitter dan Facebooknya.



Peserta lain dari musim ke-21 yang turut terkejut dengan berita ini memberikan penghormatan dengan ‘post’ di laman sosial masing-masing.









Mirjana menyertai program realiti popular itu pada musim ke-21 yang disiarkan di kaca televisyen tahun lepas dan tersingkir pada episod ke-10.

Suspek, Emmanuel Jesus Rangel-Hernandez, 19 tahun, ditahan atas dakwaan tiga pembunuhan tahap pertama.