Sebuah jam buatan tangan berusia 89 tahun berjaya dilelong dengan harga AS$24 juta dolar atau hampir RM77 juta di Geneva pada Selasa.

Jam emas berjenama Patek Philippe itu kini mencatatkan rekod sebagai lelongan paling berharga dan paling popular di dunia.

'The Henry Graves Supercomplication' yang sekali lagi dilelong tahun ini mencatatkan nilai lelongan dua kali ganda lebih tinggi daripada harga AS$11 juta dollar yang pernah diterima penjualnya pada tahun 1999.

Ketua Rangkaian Dunia Jam Sotheby's, Tim Bourne berkata penjualan berkenaan mengesahkan jam itu kini 'berstatus bintang'.

Bourne menyifatkan jam tangan itu sebagai 'ikon kurun ke-20' serta satu karya penghasilan hebat yang menampilkan tahap disiplin tinggi seni si pembuat jam.

Dengan lelongan ini, ia berjaya menaikkan lagi jenama Patek Philippe sesuai dengan sambutan ulangtahun ke-175 bagi pengeluar jam dari Switzerland itu.

Identiti pembeli atau pembida jam ini bagaimanapun dirahsiakan oleh penganjur lelongan.