Filem bukan sekadar menawarkan unsur hiburan malah pendidikan, permainan imaginasi serta pengajaran kepada penonton.

Penggiat seni boleh mendapat inspirasi dari pelbagai sumber. Mungkin ada yang beranggapan kebanyakan skrip filem datangnya dari novel, buku mahupun adaptasi dari kisah benar.

Namun ada juga filem yang latar ceritanya diolah daripada artikel-artikel bukan fiksyen. Karya-karya ini lazimnya dipaparkan dalam penerbitan popular seperti akhbar, majalah dan lain-lain.

Berikut merupakan 10 filem yang diinspirasi atau diadaptasi daripada artikel bukan fiksyen.


The Insider

The Insider merupakan filem arahan Michael Mann dan diterbitkan pada tahun 1999. Filem drama ini
diadaptasi dari artikel ‘The Man Who Knew Too Much’ karya Marie Brenner yang diterbitkan dalam Vanity Fair.

Menampilkan Al Pacino dan Russell Crowe sebagai teraju utama, The Insider pernah dicalonkan untuk
tujuh kategori dalam anugerah Academy.


The Fast and the Furious

Artikel berjudul ‘Racer X’ yang ditulis oleh Ken Li menjadi asas penceritaan francais The Fast and the Furious.

Siri filem perlumbaan aksi jalanan ini menjengah sehingga filem yang ketujuh sejak 14 tahun ia mula ditayangkan.

Filem-filem The Fast and the Furious menampilkan seleksi pelakon popular seperti Vin Diesel, Paul Walker, Michelle Rodriguez, Dwayne Johnson dan lain-lain. Francais filem terbitan Universal ini mendapat kutipan hampir US$3 bilion keseluruhan.


Urban Cowboy

John Travolta dan Debra Winger menerajui filem romantik drama barat yang mula-mula ditayangkan pada tahun 1980. Urban Cowboy mengetengahkan industri muzik country yang mula mendapat perhatian sekitar awal 80-an.

Lakon layarnya mendapat olahan dari Aaron Latham dan James Bridges berdasarkan artikel yang sama nama dari majalah Esquire.


The Killing Fields

Menemui layar perak pada tahun 1984, The Killing Fields digarap melalui pengalaman dua wartawan dalam penulisan mereka yang berjudul ‘The Death and Life of Dith Pran’.

Jalan ceritanya mengambil latar di negara Kemboja ketika zaman demokratik Kampuchea sekitar tahun 1975 sehingga 1979.

The Killing Fields dinobatkan lapan anugerah BAFTA dan tiga anugerah Academy.


Shattered Glass

Hayden Christensen, Peter Sarsgaard dan Hank Azaria antara nama-nama besar yang membintangi filem Shattered Glass pada 2003.

Filem yang diarahkan oleh Billy Ray ini diilhamkan oleh sebuah artikel dalam Vanity Fair pada tahun 1998.

Shattered Glass mengisahkan kronologi kejayaan serta kejatuhan karier Stephen Glass semasa berkhidmat di majalah The New Republic sekitar tahun 1990an.

Dicalonkan untuk pelbagai anugerah berprestij antaranya Golden Globe dan Satellite Award.


Coyote Ugly

Artikel ‘The Muse of the Coyote Ugly Saloon’ oleh Elizabeth Gilbert yang diterbitkan dalam majalah GQ tahun 1997 menyumbang kepada ideologi filem Coyote Ugly arahan David McNally.

Meskipun mendapat hentaman dari pengkritik professional namun filem romantik komedi ini mendapat pulangan yang agak baik sepanjang tempoh tayangannya.


Saturday Night Fever

Berlandaskan bajet serendah USD3.5 juta, Saturday Night Fever yang dibintangi John Travolta dan Karen Lynn Gorney ini menerima kutipan memberangsangkan sebanyak USD237 juta.

Filem ikonik ini diadaptasi dari artikel New York magazine karangan penulis British iaitu Nik Cohn berjudul ‘Tribal Rites of the New Saturday Night’.


Tora! Tora! Tora!

Karya Gordon W. Prange berjudul ‘Tora! Tora! Tora!’ dan ‘The Broken Seal’ oleh Ladislas Farago disatukan menjadi sebuah filem peperangan dengan durasi 144 minit.

Filem perang berbahasa Inggeris dan Jepun ini menyingkap kisah pengeboman Pearl Harbor oleh negara Jepun.

Tora! Tora! Tora! diarahkan oleh Richard Fleischer dan diedarkan 20th Century Fox.


Almost Famous

Almost Famous adalah sebuah filem yang digarap dari penulisan Cameron Crowe untuk majalah Rolling Stone berjudul ‘The Allman Brothers Story’.

Menampilkan Billy Crudup, Kate Hudson dan Patrick Fugit sebagai pelakon utama, Cameron Crowe turut mengarahkan filem drama-komedi ini.

Filem semi-autobiografi ini mengisahkan seorang jurnalis remaja yang menulis untuk majalah Rolling Stone pada awal tahun 1970.

Almost Famous membawa pulang anugerah Academy, Grammy dan dua Golden Globe.


Proof of Life

Taylor Hackford mengarahkan filem culik-aksi yang menampilkan Meg Ryan dan Russell Crowe sebagai karekter utama ini.

Proof of life mendapat inspirasi dari artikel William Prochnau dalam majalah Vanity Fair bertajuk ‘Adventures in the Ransom Trade’.

Menemui pawagam pada 4 Disember 2000, Proof of life tidak berjaya dari segi pulangan mahupun memenangi mana-mana anugerah.