SEORANG pengguna perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber terkejut besar apabila dikenakan caj AS$18,518 (RM75,694) untuk satu perjalanan.

Hisham Salama menggunakan perkhidmatan Uber untuk ke Hospital St Joseph, yang terletak hanya kira-kira 20 minit perjalanan dari rumahnya di Toronto, Kanada, pada Jumaat lalu.

Dia yang membayar caj berkenaan menggunakan kad kredit, pada mulanya hanya ketawa kerana menganggap ia satu kesilapan, namun menyedari ia sesuatu yang serius selepas memeriksa penyata kad kreditnya.



Lebih mengejutkan Salama, wakil Uber yang dihubungi memberitahu tiada kesilapan pada caj yang dikenakan.

"Tak ada orang yang waras akan mengatakan tambang perjalanan yang memakan masa 20 minit ialah AS$18,000," kata Salama kepada portal VICE.

Hanya selepas kisah itu ditularkan Salama di media sosial, barulah Uber mengeluarkan permohonan maaf dan memulangkan wangnya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Uber memaklumkan kekeliruan tambang itu berpunca daripada kesilapan manusia (human error).

"Kami mohon maaf kepada penumpang terbabit dan telah pun memulangkan wangnya.

"Kami telah mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan hal seumpama ini terjadi lagi," kenyataan itu menyebut.