SUSULAN penyebaran gambarnya di kelab malam, pendebat terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak menafikan dia pernah menjejakkan kaki ke tempat itu.

Namun, menurutnya, ia tidak bermakna dirinya seorang 'kaki clubbing' seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menerusi status yang dimuat naik ke akaun Facebook, Syed Saddiq berkata dia tidak berniat untuk menafikan gambar yang tersebar itu dirinya, namun menegaskan dia punya sebab untuk berada di tempat sedemikian.

Keratan respon Syed Saddiq di akaun Facebook miliknya.


Gambar itu, jelas Syed Saddiq diambil ketika dia menyertai satu pertandingan debat peringkat Asia, sewaktu pengumuman pusingan kalah mati dibuat.

Tambah Saddiq, dia bukan manusia dan Muslim yang sempurna, namun sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sendiri.

Dalam masa yang sama, Saddiq, yang kebelakangan ini menjadi tumpuan kerana kelantangannya menyuarakan pendapat berhubung isu politik yang melanda negara, menegaskan penyebaran gambar itu tidak akan menyekat aspirasinya.

Tinjauan di laman sosial mendapati pengguna media sosial tidak terkesan dengan penyebaran foto-foto berkenaan, dan menyifatkan apa yang berlaku di masa lampau tidak sepatutnya menjadi pengukur nilai seseorang.

Begitupun, ada juga sebilangan netizen yang mahu institut pengajian tinggi (IPT) supaya mengambil kira isu lokasi apabila membawa pelajar bertanding di mana-mana pertandingan, khususnya di luar negara.

Ini kerana ia bukan sahaja memberi persepsi negatif kepada pelajar, malah reputasi institusi terbabit juga boleh terjejas.