Peralihan masa dan suasana, menyaksikan fungsinya ditelan arus kemodenan, malah gendang raya boleh dikatakan semakin 'pupus' dan sukar ditemui di surau atau masjid negeri ini.
Namun, bagi penduduk Kampung Pulau Timbul di sini, gendang raya masih memainkan peranan penting sebagai tradisi mengejutkan penduduk bangun bersahur sepanjang bulan Ramadan.
Bilal Masjid Ar Rahmah Pulau Timbul, Mohd Fattah Mohd Shukur, 30 tahun, berkata, paluan beduk akan memecah kesunyian malam bermula dari pukul 3 sehingga 5 pagi sepanjang bulan puasa.
Katanya, sesi pertama paluan bertujuan mengejutkan penduduk bangun menunaikan solat sunat atau pun qiamullail, manakala kali kedua untuk mengejutkan kaum ibu bangun menyediakan juadah bersahur.
"Ia akan dipalu individu yang digelar 'anak', 'ibu' dan 'tingkah' secara serentak dengan mendendangkan irama harmoni yang dimainkan secara turun-temurun dari generasi terdahulu.
"Alunan beduk ini tidak boleh dimainkan sesuka hati, sebaliknya pemain atau pemukul perlu menguasai kemahiran bahagian masing-masing yang perlu dipelajari terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Pulau Timbul dekat Mukim Jeram di sini.
Bercerita lanjut mengenai pemain beduk, Mohd Fattah berkata, gendang raya berusia 100 tahun itu masih bertahan sehingga kini kerana diperbuat daripada kayu cengal yang diyakini sangat kukuh dan kuat.
Katanya, bahagian utama diperbuat daripada kayu itu dibalut dengan kulit kerbau yang boleh bertahan sehingga 20 tahun bergantung kepada cara pemain memalu, menggunakan kayu jambu batu, kerana kayunya yang kuat dan sukar patah.
“Kayu pemukul dipercayai dibuat daripada kayu gading dan kayu jati, pemilihannya dibuat kerana tahan lasak dan tidak mudah patah.
“Malah kulit kerbau yang dipasang sejak dahulu masih lagi utuh sehingga kini,” ujar Mohd Fattah lagi.