Setiap rumah di negeri ini perlu memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kejadian kebakaran di rumah masing-masing.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hiee berkata tindakan awal tersebut amat penting supaya api boleh dipadam segera dan mengelakkannya daripada merebak.

Tiong berkata pengguna boleh layari laman https://efeis1.bomba.gov.my untuk mendapatkan senarai kontraktor pembekal alat pemadam api berkenaan.

Beliau berkata JBPM Sarawak mengadakan program bagi pelbagai peringkat umur masyarakat untuk memberitahu akan kepentingan memiliki alat pemadam api di rumah dan cara-cara penggunaan yang betul.

"Dalam program Fire Point setiap kampung yang menyertainya akan diberikan sebanyak lima unit alat pemadam api secara percuma dan bagi program Summer Camp untuk penghuni rumah panjang, peserta didedahkan ilmu kebombaan termasuk penggunaan alat pemadam api," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka pada musim panas sekarang.

Pembakaran itu jika gagal dikawal boleh menyebabkan kebakaran lebih luas dan memusnahkan banyak kawasan dan mengakibatkan kerugian besar kepada petani atau pemilik tanah yang lain.

"Antara tempoh 24 hingga 28 Julai tahun ini sebanyak 41 kes kebakaran semak dilaporkan. Oleh itu kami memohon orang ramai supaya jangan membuat pembakaran terbuka," jelasnya.

Selain itu beliau menasihati orang ramai untuk memadamkan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah dan mengelakkan penggunaan barangan elektrik berlebihan ke atas sesuatu soket kerana ia boleh menjadi punca kebakaran.

-- BERNAMA