PERNAHKAH anda terasa ‘sengal’ atau sakit di bahagian pergelangan tangan hingga ke sisi tapak tangan dekat jari kelingking?

Adakah anda pengguna telefon pintar yang kerap dan banyak menghabiskan masa melihat dan membelek skrin?

Dalam dunia sekarang, banyak perkara yang kita lakukan boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal keseluruhannya. Malah, tanpa kita sedari, cara kita menggunakan telefon pintar juga boleh memberi kesan.

Adakah telefon pintar ada di tangan anda ketika ini? Adakah bahagian bawah telefon itu ‘ditenggekkan’ pada jari kelingking, bahagian belakang telefon 'bersandarkan' pada jari telunjuk, jari tengah dan jari manis, manakala ibu jari melakukan semua kerja menatal (scrolling)?

Normal, bukan? Majoriti kita semua memegang dengan cara begitu.

Portal berita Huffpost UK melaporkan, cara itu sebenarnya tidak bagus untuk kita untuk jangka masa panjang.

Jari kelingking dan ibu jari adalah yang paling terkesan apabila menggunakan telefon pintar atau tablet. Jika kita sudah melakukannya terlalu lama, ia boleh menyebabkan ibu jari dan sendi jari lain mengalami kekejangan atau keradangan.

Keadaan itu, secara tidak formal disebut sebagai ‘jari smartphone’. Lebih buruk, bahagian pergelangan tangan dan lengan juga boleh terjejas sama.

Sebelum ini, di United Kingdom, tweet ini telah mencuri perhatian lantas dikongsi ramai:

Ketika tanda tanya semakin banyak mengenainya, Ben Lombard dari Chartered Society of Physiotherapy, London, mengesahkan perkara itu.

“Kita cenderung untuk memegang telefon dengan jari kelingking menyokong berat gajet itu di bahagian bawah. Untuk memastikan muka skrin menghadap mata, pergelangan tangan kita terpusing ke arah dalam. Ini boleh menyebabkan tekanan pada saraf ulnar jika semakin lama dibiasakan begitu,” terang Lombard.

Saraf ulnar adalah salah satu daripada tiga saraf utama di bahagian lengan. Ia bermula dari bahagian siku dalam dan merentangi bahagian bawah lengan, ke sisi jari kelingking, dan menyampaikan isyarat elektrikal kepada otot di lengan dan tapak tangan.

Tekanan berpanjangan

Menurut kajian John Hopkins Medicine, saraf itu boleh ‘tersepit’ sama ada apabila melakukan regangan berpanjangan (ketika siku dibengkokkan), atau ketika terdapat tekanan berpanjangan (seperti memegang peralatan tangan), atau memegang handlebar motosikal dengan lama. Ataupun telefon bimbit anda!

Sebuah kajian pada tahun 2017 telah menemui kaitan antara penggunaan telefon pintar yang lama, dengan kemungkinan besar mengalami kesakitan di pergelangan tangan dan juga gangguan fungsi lengan.

Berdasarkan penemuan ketua penyelidikan, Peter White, iaitu pembantu profesor di Bahagian Teknologi dan Informatik Kesihatan, Hong Kong Polytechnic University: “Peringatan perlu mengiringi mereka yang menggunakan peralatan elektronik dengan tangan, supaya dapat mengurangkan kemungkinan mendapat sindrom carpal tunnel.



Sindrom carpal tunnel boleh terjadi berikutan ada tekanan berulang di saraf median. Menurut laman web MyHealth.gov.my, majoritinya disebabkan oleh pergerakan sama yang berpanjangan dan berterusan, postur tidak sihat, tekanan berlebihan (menekan pada permukaan keras) dan gegaran.

Itu menyebabkan tendon pada kawasan terlibat akan menjadi bengkak dan menekan pada saraf median, lalu mengakibatkan kesakitan dan kekebasan akan berlaku pada pergelangan yang terlibat.

Keadaan tempat kerja, yang memerlukan pergerakan tangan yang berulang, bertenaga dan janggal, seperti menaip yang lama, boleh menyebabkan sindrom carpal tunnel. Ia menyebabkan kesakitan, kebas, denyutan di jari serta kuasa genggaman yang melemah.

Jaga tempoh

Maka, bagaimana sebenarnya cara memegang telefon pintar?

Tiada cara yang paling 'optimal' untuk memegang telefon anda. Perkara utama adalah dengan memikirkan serta mengawal tempoh masa dan kekerapan anda menggunakannya.

Selain daripada mengelak menjadikan jari kelingking sebagai penahan, kita boleh mengubah cara biasa kita memegang telefon pintar bagi mengurangkan risiko yang berkaitan.

Mungkin boleh ubah cara kita membaca atau menonton. Beralihlah pada skrin yang lebih besar yang ditempatkan di kedudukan yang bebas penggunaan tangan.

Lagipun, kelaziman kita memegang telefon pintar buat masa yang lama, bukan saja memberi kesan pada jari dan pergelangan tangan, malah pada tengkuk, dan bahagian belakang badan.

Jagalah kesihatan anda!


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !