KITA selalu dengar orang tua bercakap, “Barang yang ada tu simpan, takut nanti nak guna!”

Kalau anda nak tahu, ini merupakan salah satu ungkapan kegemaran milik pesakit hoarding disorder.

Nak tahu apa itu hoarding disorder? Jom ikuti artikel kami di bawah!


Simpan terlalu banyak barang, tapi sayang nak buang!

Pernahkah anda berjumpa dengan seseorang yang mempunyai masalah hoarding? Selalunya, orang yang mempunyai masalah ini ada timbunan barang yang amat banyak di rumah.

Individu yang menjadi hoarder atau pengumpul barang selalunya sukar untuk berpisah dengan barang-barang kepunyaannya.

Mereka mempunyai ikatan emosi, fizikal, dan sosial dan kadangkala kewangan terhadap barang yang mereka simpan.

Walau bagaimanapun, bukan semua orang yang simpan barang dikategorikan sebagai hoarder.

Apa yang membezakan mereka dengan collector atau pengumpul barang ialah orang yang mempunyai masalah ini akan simpan apa sahaja walaupun mereka tidak perlukan barang tersebut.

Lambakan barang yang mereka kumpul juga boleh memenuhi rumah hingga mencecah siling.

Kadang-kadang, barang mereka terlampau banyak dan bersepah sehinggakan individu tersebut tidak dapat akses ke bahagian lain rumah mereka.

Keadaan yang bersepah ini selalunya akan memberi impak yang negatif kepada hidup mereka. Rumah yang bersepah pasti tidak sesuai untuk membesarkan sebuah keluarga.

Mereka juga akan jadi sensitif jika barang mereka dibuang atau dialihkan.

Mereka yang menderita sakit ini selalunya akan mempunyai konflik dengan keluarga dan sukar untuk melakukan apa-apa aktiviti seperti memasak ataupun mandi di rumah masing-masing.

Hoarding disorder berlaku kepada 2 - 6% daripada populasi di seluruh dunia. Penyakit ini juga lebih biasa dalam kalangan lelaki daripada perempuan.

Oleh itu, mereka yang hidup seorang diri, tidak berkahwin, miskin semasa membesar, ada sejarah keluarga yang turut lakukan perkara yang sama dan sudah biasa hidup dalam keadaan bersepah adalah mereka yang berisiko untuk menjadi hoarder.

Selain daripada menganggap barang yang mereka simpan boleh digunakan nanti, mereka juga kadangkala ada ikatan emosi yang terlampau kuat terhadap barang-barang tersebut.

Sebagai contoh, mereka mungkin tidak boleh buang barang yang berada di rumah mereka kerana ia milik ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia dan diwariskan kepada mereka.


'Hoarding disorder', sebuah penyakit mental

Hoarding disorder adalah satu tanda individu tersebut mungkin alami obsessive-compulsive personality disorder (OCPD), obsessive-compulsive disorder (OCD), attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD), depresi, keresahan (anxiety) ataupun nyanyuk (dementia).

Ada kajian yang mendapati bahawa 1 daripada 4 penghidap OCD mempunyai masalah mengumpul barang. Penghidap penyakit ini boleh dipulihkan.

Walau bagaimanapun, sukar untuk membantu pesakit yang mengalami keadaan ini kerana mereka sendiri tidak menganggap ia sebagai satu masalah.

Selalunya, ahli keluarga yang akan membawa pesakit hoarding disorder berjumpa doktor. Namun, mereka memerlukan sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada keluarga terdekat untuk berubah.

Yakinkan pesakit bahawa tidak ada sesiapa yang akan membuang atau simpan barang mereka di rumah ketika mereka berjumpa doktor.

Ahli keluarga juga tidak boleh terlalu memaksa individu yang mempunyai hoarding disorder kerana ia hanya akan membuatkan keadaan jadi lebih teruk.

Mereka mungkin akan putuskan hubungan atau mengelak daripada berjumpa anda pada masa hadapan.

Tunggu hingga mereka mendapat motivasi sendiri untuk berubah dan jangan paksa mereka secara keterlaluan.


Sukar, tetapi tidak mustahil untuk dirawat

Selalunya, penghidap hoarding disorder akan menjalani rawatan dan menerima ubat yang sama seperti pesakit OCD. Namun, kadangkala rawatan ini tidak berkesan kepada pesakit hoarding disorder.

Pesakit perlu mempunyai strategi sendiri untuk melawan nafsu masing-masing. Antaranya adalah elakkan daripada kerap membeli barang sewaktu keluar rumah.

Perubahan ini perlukan motivasi, komitmen dan juga kesabaran. Penyakit ini juga tidak akan pulih serta-merta dan perlukan masa selama berbulan-bulan.

Lama-kelamaan, individu tersebut akan mampu kurangkan barang, mengemas dan menyusun barang-barang mereka. Walau bagaimanapun, relaps mungkin berlaku pada masa hadapan.

Oleh itu, pesakit perlu ada pelan tambahan untuk atasi masalah yang sama jika ia berlaku semula pada tahun yang akan datang.

Pada akhir intervensi, pesakit hoarding disorder mungkin tidak dapat pulih sepenuhnya. Tapi mereka dapat mengawal tingkah laku mereka dan lebih memahami penyakit yang mereka alami.


Artikel asal di Pa&Ma.