Beberapa hari sebelum permulaan Ramadan, orang ramai mula pergi ke pasar untuk melakukan persiapan. Antara lokasi utama ialah di Bab al-Saray, Mosul.
Muhammad Ghanem, 42, memiliki kedai rempah ratus di pasar al-Attarin di Bab al-Saray. Jual beli berjalan rancak pada bulan Ramadan kerana orang ramai bersiap sedia untuk menjamu keluarga besar, katanya kepada portal berita Al Jazeera.
“Perkara lain mengenai pasar ini yang menarik minat orang ramai adalah mereka boleh mendapatkan semua yang mereka perlukan di sini, termasuk pakaian, makanan, barangan rumah dan segala-galanya dengan harga murah berbanding pasar lain. Malah mereka dari bandar lain juga datang ke pasar ini untuk membeli-belah pada bulan Ramadan.”
Keistimewaan pasar Ramadan ini ialah jus kismis, dibuat dengan kismis terbaik dari pergunungan wilayah Kurdish Iraq serta pudina segar.
Masaharati atau al-masharaji dalam dialek Iraq, adalah satu lagi ciri khas pada bulan puasa.
Tradisi ini hanya diamalkan semasa Ramadan, di mana seorang lelaki berjalan melalui lorong-lorong sambil memukul gendangnya, memanggil orang ramai untuk bangun dan bersahur.
Masaharati juga menjadi tradisi di banyak negara Islam lain pada Ramadan.
Satu lagi tradisi penduduk Mosul ialah hakawati, atau pencerita, yang pertama kali muncul semasa era Uthmaniyyah, duduk di tempat awam untuk bercerita kepada orang yang lalu-lalang.
Dia menceritakan kisah lama yang didengari daripada ibu bapa atau datuk dan neneknya, atau cerita yang ditulis seseorang, atau cerita yang ditulisnya sendiri, tetapi semua cerita memberi pengajaran tentang kebijaksanaan dan pengajaran hidup.
Indah bukan Ramadan di negara luar. Inilah keistimewaan masyarakat di seluruh dunia, masing-masing memiliki ciri-ciri dan identiti mereka yang tersendiri.
Ramadan tahun ini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita lalui, semoga diberi peluang dan rezeki untuk bertemu bulan penuh keberkatan itu pada tahun hadapan Insya-Allah.