Kadangkala anda perlu menunggu giliran untuk mendapatkan meja... namun secangkir kopi giling, dihidang pula bersama 'roti kahwin' membuatkan penantian itu berbaloi.

Terletak di Jalan Wharf, kedai kedai Kopitiam Aik Seng merupakan destinasi wajib jika berkunjung ke Sarikei, Sarawak.

Suasana luar kedai yang masih mengekalkan papan tanda kayu membawa kru Astro AWANI kepada nostalgia lama dan suasana kedai 'ala' kampung.

Tidak hanya dikenali dengan keenakan kopi giling, kopitiam ini cukup popular kerana hidangan roti bakar menggunakan arang kayu.

Roti bakar yang disapu mentega biasa, kacang dan kaya pandan

Aroma arang kayu menjadi 'penambah rasa' roti bakar berkenaan yang berjaya menambat selera pelanggan setia.

Kini, kedai kopi Aik Seng menjengah usia lebih 90 tahun, dan diwarisi generasi ketiga keluarga, Wong Me Me.

Setiap pagi, wanita berusia 41 tahun ini tidak menang tangan mengambil pesanan dan melayan pelanggan dari pelbagai lokasi.

"Datuk saya yang mengasaskan perniagaan ini pada tahun 1930-an, iaitu sebelum Perang Dunia Kedua. Selepas ia diwarisi oleh ayah saya dan saya merupakan generasi ketiga.

"Pada awal penubuhan (mendiang) datuk saya cakap dulu ramai 'mat saleh' dan pada waktu pagi selalu minum kopi dengan roti bakar," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Gambar Astro AWANI

Rahsia resepi mentega yang disapu atas roti bakar lembut menjadikan ia 'buruan' pelanggan.

Meskipun ada teknologi moden, penggunaan arang kayu menjadikan Kopitiam Aik Seng berbeza, selain ia mengekalkan keaslian rasa warisan turun-temurun.

Lebih mengujakan, Me Me berkata, jika ada pesta nanas di Sarikei atau musim pilihan raya, jumlah pelanggan yang datang adalah lebih luar biasa.

"Saya pernah dengar pelanggan datang dari Brunei dan Sabah, semata-mata nak makan roti. Itu saya terharu dan gembira kalau dengar mereka cakap macam itu," luahnya lagi.

Me Me meninggalkan kerjaya di ibu negara, dan pulang ke negeri kelahirannya pada 2017 demi warisan keluarga.

Namun di lubuk hati Me Me, tidak ada pun sekelumit penyesalan, sebaliknya ibu kepada tiga cahaya mata ini bangga kerana dapat meneruskan kesinambungan perniagaan.

"Saya satu-satu anak bapa saya dalam keluarga, dan tiada yang mewarisi (perniagaan).

"Saya bekerja di Selangor selama lebih kurang dua puluh tahun, termasuk belajar. Jadi, terpaksa balik sebab emak dan bapa sudah tua," katanya.

Gambar Astro AWANI

Bagi pelanggan tetap, Wong Ching Kee, 86, kepelbagaian kaum dan bangsa yang berkunjung ke Kedai Kopi Aik Seng membuatkan dia lebih suka menikmati sarapan pagi di situ, sejak 35 tahun lalu.

"Setiap pagi makan sini.... Apabila sudah makan, saya pergi ke pejabat.

"Biasanya saya akan bersarapan di sini antara pukul 7 pagi hingga 8 pagi. Seronok dan santai di sini," katanya ringkas.

Dalam masa sama, misi lebih besar Me Me adalah untuk memastikan tiga anak lelakinya yang kini berusia antara tiga hingga lapan tahun dapat mewarisi empayar perniagaan.

Harapan itu disandarkan kepada Jen Sen; Jay Ven; serta Jostein.

"Kena teruskan supaya dapat diwarisi turun temurun ke anak saya.

"Harapan saya juga mungkin akan ada menu dan resepi baharu dapat diperkenalkan nanti," katanya.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !