Pempengaruh buat ulasan surau awam, mudahkan orang beribadah

Bernama
Julai 1, 2024 18:27 MYT
Rusydi Sayuti Rosli terus bersemangat meluangkan masa serta tenaga untuk tampil memberikan maklumat menerusi akaun TikToknya, @rusydi.official.
KUALA LUMPUR: Kesukaran isterinya yang sarat mengandung dan perlu berjalan jauh bagi mencari surau di sebuah pusat beli-belah mendorong seorang pempengaruh mencipta kandungan berbentuk ulasan di media sosial mengenai kemudahan tempat beribadat itu di pelbagai lokasi awam.
Biarpun tidak mendatangkan sebarang pendapatan, Rusydi Sayuti Rosli, 37, tetap bersemangat meluangkan masa serta tenaga untuk tampil memberikan maklumat menerusi akaun TikToknya @rusydi.official menerusi #reviewsurau, sejak tahun lepas (2023).
Dia yang bekerja sebagai pengurus di sebuah pasar raya di ibu kota itu berkata, hasil pemerhatiannya mendapati, terdapat surau di pusat beli-belah yang tidak menepati kehendak garis panduan penyediaan fasiliti serta tidak mudah diakses terutama oleh golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, dan warga emas.
"Atas sebab itu, saya rasa terpanggil untuk mengulas keadaan surau awam terutama di pusat beli-belah dengan menambah beberapa maklumat lain, antaranya panduan arah dan kadar aksesibiliti," katanya kepada Bernama.
Usaha murni anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula mendapat perhatian masyarakat selepas rakaman video dan ulasannya mengenai keadaan sebuah surau di pusat beli-belah di Seremban, Negeri Sembilan menerima jumlah tontonan sehingga 1.5 juta dalam tempoh kurang lapan jam selepas dimuat naik di laman sosial TikToknya, pada Ogos tahun lepas.
Rusydi Sayuti berkata, antara masalah surau awam adalah kekurangan telekung wakaf, sejadah dan karpet yang berbau serta lokasi kurang strategik, contohnya terletak di tapak parkir.
Selain itu, terdapat juga surau yang tidak memberikan ruang privasi mencukupi kepada pengunjung terutama wanita, selain salah arah kiblat, waktu operasi surau terbatas serta bising sehingga mengganggu tumpuan ketika beribadah.
"Kita tak minta surau dijadikan mewah, tetapi memadai ia bersih dan mempunyai semua kemudahan asas serta sesuai kepada semua golongan, selain penentuan arah kiblat yang tepat dan betul," katanya yang membuat kerja amal itu setiap hujung minggu.
Berkongsi lanjut, Rusydi Sayuti berkata, ada ketika, beliau terpaksa 'menerjah' sahaja untuk merakam keadaan di dalam surau dan membuat ulasan kerana sukar untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menguruskankannya.
"Apabila sudah tular seterusnya menarik perhatian masyarakat, barulah perkara ini membuka mata pengurusan untuk menambah baik surau walaupun kadangkala menerima pelbagai kecaman hebat bukan sahaja daripada pengurusan tetapi juga komuniti setempat.
"Saya pernah hampir berputus asa apabila mendapat kecaman terlalu negatif, namun bangkit semula apabila ramai masyarakat termasuk bukan Muslim menzahirkan kata-kata semangat antaranya 'kalau kita bermula kerana Allah SWT kenapa kita perlu berhenti kerana manusia'," katanya.
Menurut Rusydi Sayuti, setiap kali membuat ulasan di mana-mana surau, sudah pasti dia akan membuat tindakan susulan bagi mengetahui perkembangan atau langkah yang mungkin diambil oleh pihak pengurusan .
"Saya gembira apabila ada pengurusan yang cakna dan ambil positif dengan setiap komen yang diberikan," katanya yang turut membuat ulasan di surau awam di kawasan lain seperti kawasan rehat dan rawat, terminal bas atau stesen kereta api.
Bapa kepada dua anak itu turut mengakui dia berasa puas hati dapat menyempurnakan kewajipan fardu kifayah itu dan berharap agar Jabatan Agama Islam Negeri menubuhkan badan berwajib atau satu jawatankuasa khas untuk memantau keadaan surau awam.
Sehubungan itu, Rusydi Sayuti merancang untuk bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bagi menyuarakan isu tersebut, dalam masa terdekat.
"Jika hendak dibandingkan dengan surau awam yang lain, untuk surau di pusat beli-belah, paling sukar mahu mencari individu bertanggungjawab menguruskannya," katanya, yang merancang memperluaskan lagi usaha mencipta kandungan ulasan jujur mengenai surau awam di seluruh negara.
-- BERNAMA / Norhidayyu Zainal
#pempengaruh #ulasan surau #review surau #rusydi rosli #TikTok #influencer #ibadah
;