KUALA TERENGGANU: Seorang pelukis memanfaatkan masanya yang terluang ketika ini memandangkan bengkelnya tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dengan menghasilkan lukisan mural yang kreatif dan unik.

Mohd Rozamil Mohd Yatim, 34, menghiasi sebahagian dinding simen di bengkel miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, di sini dengan lukisan yang memaparkan sebuah rumah kayu klasik dengan latar belakang perkampungan tradisional tahun 1980-an.

"Idea ini datang secara spontan kerana saya teringat kenangan manis ketika berada di rumah kayu bersama nenek satu ketika dahulu. Tak sangka pula ramai yang suka dan kagum dengan hasilnya setelah saya muat naik di Facebook.

"Mungkin kerana lukisan rumah kayu ini menggamit kenangan mereka waktu kecil dahulu, lagipun kebanyakan rumah sekarang ini diperbuat dari simen, tentulah lukisan ini dapat mengubat kerinduan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini.



Lukisan mural di dinding bengkel berkeluasan sembilan meter lebar dan tiga meter tinggi itu berjaya menarik perhatian netizen kerana selain rumah kayu, ia turut memaparkan suasana zaman dahulu dengan tandas pintu zink, ampaian, pokok kelapa, burung, ayam ternakan, kain batik dan tempayan di tepi tangga rumah.

Mohd Rozamil berkata, beliau mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan mural dinding itu menggunakan warna asas iaitu hitam, putih, coklat dan hijau.

"Kos hanya RM85 sahaja kerana saya banyak gunakan peralatan dan cat sedia ada. Lukisan ini dijangka mampu bertahan untuk tempoh lima tahun. Ramai juga yang mahu datang ke sini untuk bergambar kenangan selepas tamat tempoh PKP 3.0 nanti, termasuk bakal pengantin.

"Selain itu, saya turut terima tawaran untuk lukisan mural dinding di Kuala Lumpur selepas lukisan rumah kayu ini tular.... tengok nanti jika sesuai dengan harga mungkin saya terima," katanya yang mula menjadi pelukis sepenuh masa sejak tahun 2005.



Bapa kepada dua anak itu berkata beliau bersyukur kerana karya terbaharu itu mampu menonjolkan lagi bakatnya sekaligus menjadi 'iklan' perniagaan di media sosial.

Tambahnya, lukisan dinding itu hanyalah sekadar mengisi masa lapang sahaja kerana beliau lebih gemar menjadikan lukisan teknik 'air brush' di topi keledar, kereta dan motosikal sebagai sumber pendapatan utama perniagaannya.

Mohd Rozamil berkata, hasil karyanya sebelum ini banyak ditempah orang kenamaan, peminat sukan permotoran dan sukan lumba kuda, termasuk Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Malah beliau pernah membantu mengumpul dana tabung COVID-19 melalui sebahagian keuntungan hasil jualan lukisan potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di topi keledar pada tahun lepas.

"Harapan saya pandemik COVID-19 cepat berakhir agar saya boleh meneruskan perniagaan seperti biasa dan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan melalui bakat seni yang ada," katanya.

-- BERNAMA