Menerusi Skuad Hero Muda Prihatin ‘Misi Khas Bantuan Banjir Pahang’ yang dianjurkan pada 5 dan 6 Januari lalu, empat peserta program realiti itu iaitu Farhan Nordin, Alif Haiqal, Syazani Zainal serta Aryan Naim bersama lebih 30 sukarelawan turun padang membantu meringankan beban mangsa banjir.
Menurut Penganjur Skuad Hero Muda Prihatin, Waffiy Norazmi, 28, inisiatif berkenaan adalah sebagai tanda prihatin terhadap mangsa banjir, selain memberi peluang kepada golongan muda untuk membantu dalam misi kali ini.
“Tujuan kami kali ini adalah membantu mangsa banjir yang mana saya bersama sukarelawan yang lain anggap ia sebagai jihad kerana dapat menolong mangsa banjir dengan tenaga.
“Selain itu, kami pasukan juga menzahirkan rasa terharu dan gembira kerana kebanyakan penduduk di lokasi terlibat merupakan peminat setia finalis Hero Remaja 2021
“Menerusi misi pertama ini, kami berjaya mengagihkan bag bantuan, dapur gas dan toto kepada lebih 20 buah rumah di sekitar Chenor, Jerantut, Temerloh dan Mentakab,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.
Jelas Waffiy, pihaknya begitu terharu dengan kehadiran para finalis Hero Remaja 2021 itu, yang sekali gus memberikan keceriaan kepada penduduk di lokasi terlibat.
Dalam masa yang sama, dia menzahirkan rasa syukur kerana semua urusan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir berjalan lancar.
“Misi pertama ini, Alhamdulillah dipermudahkan bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Insya-Allah, misi ini akan kami teruskan ke lokasi yang lain pula termasuk ke Kelantan dan Johor,” ujarnya.
Waffiy turut memaklumkan penyertaan syarikat korporat atau rakan-rakan penaja amat dialu-alukan untuk turut sama berkolaborasi dengan pihak Skuad Hero Muda Prihatin dalam menganjurkan misi seumpama itu.
Program pencarian bakat Hero Remaja 2021 bersiaran bermula 11 September 2021 dengan menampilkan 12 peserta.
Juara bagi edisi ke-11 dimenangi oleh Mierul Aiman.