Hari Terbuka Inovasi (IOD) oleh Putra Science Park anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berlangsung hujung bulan ini, mensasarkan kehadiran pemain-pemain industri yang berminat ke atas inovasi baru terutamanya dalam bidang rekabentuk dan senibina.

Bertemakan 'Kemajuan Melalui Inovasi Seni dan Rekabentuk', pameran ini akan membawa 13 inovasi hasil kerja fakulti rekabentuk dan senibina.

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Rekabentuk Dan Senibina, Dr Suhardi Maulan, fokus utama IOD adalah untuk mempromosikan pengkomersilan teknologi UPM di samping menggalakkan jalinan kerjasama diantara pihak industri dan universiti.


“Target kami adalah bagi mendapat seramai mana pihak industri untuk datang pada hari tersebut bagi melihat produk-produkini, serta mendapat satu perbincangan dengan pihak industri bagaimana produk ini boleh dipasarkan dan digunapakai,” katanya ketika ditemui di sidang media berkenaan pameran pada Khamis.

Antara rekaan inovasi menarik yang bakal dipamerkan adalah aplikasi E-Site Inventory yang dihasilkan Dr Mohd Johari Mohd Yusof bagi memudahkan pekerja industri seperti jurutera, arkitek, juruukur dan sebagainya.

Selain itu, turut dipamerkan adalah inovasi mengkuang, inovasi hiasan dalaman, inovasi perabot, perabot pelajar sekolah dan sebagainya.

Pameran ini bakal diadakan pada 24 Mei ini di Galeri Serdang Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM bermula jam 10 pagi hinggga 1 petang diikuti Pameran Sustainable Environmental Exploration Design (Seed) bermula jam 2:30 petang.

Pameran Seed akan disertai oleh 35 pelajar tahun akhir Jabatan Rekabentuk Perindustrian.