SUSULAN sambutan menggalakkan dalam pertandingan hafazan Mini Little Huffaz, siri animasi kartun Islamik Omar & Hana kini kembali dengan Little Huffaz.

Pertandingan hafazan Al-Quran melalui platform digital yang pertama kali diadakan untuk kanak-kanak ini bertujuan menggalakkan kanak-kanak di seluruh dunia menghafal serta menanam rasa cinta terhadap ayat suci Al-Quran.

Peserta akan dinilai oleh barisan juri antarabangsa termasuklah Mufti Ismail Menk, Ustaz Yusuf Mansur, Ustaz Don Daniyal, Qari Youssef Edghouch, Furqan Fawwaz dan Mimi Jamilah.

Penilaian setiap penyertaan akan berdasarkan hafalan, kefasihan, tajwid, dan kreativiti.

Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori umur iaitu 3 dan 4 tahun serta 5 hingga 8 tahun.

Setiap peserta dikehendaki memilih surah mengikut senarai kategori umur mereka, dan kemudian memuat naik rakaman video hafazan melalui laman web rasmi Little Huffaz atau laman media sosial.

Peserta berpeluang memenangi wang tunai bernilai AS$500 (kira-kira RM2,000) berserta piala.

Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai berjumlah AS$350 (kira-kira RM1,455) dan AS$250 (kira-kira RM1,040).

Setiap pemenang juga akan menerima barangan eksklusif Omar & Hana serta e-sijil.

Pendaftaran untuk pertandingan Little Huffaz ini dibuka dari 19 Oktober hingga 6 November 2020.

Untuk mendaftar, calon yang berkelayakan boleh melayari ohittlehuffaz.com dan terus ke halaman 'Cara Menyertai' untuk menghantar penyertaan. 

Terdapat lima peringkat bagi pertandingan ini, iaitu:

⦁ Peringkat 1: Peserta menghantar video hafalan
⦁ Peringkat 2: Pemilihan 40 peserta terbaik
⦁ Peringkat 3: Pemilihan 20 peserta terbaik
⦁ Peringkat 4: Pemilihan 5 peserta Terbaik
⦁ Peringkat 5: Penilaian secara langsung di peringkat akhir


Ikuti laman media sosial rasmi, langgan ke saluran YouTube ‘Omar & Hana’ atau layari laman web ohittlehuffaz.com  untuk maklumat lanjut.

Berikutan kejayaan kempen permulaan hafazan al-Quran ‘Mini Little Huffaz’, siri animasi kartun islamik ‘Omar & Hana’ kembali dengan ‘Little Huffaz’, pertandingan hafazan Al-Quran melalui platform digital yang pertama kali diadakan untuk kanak-kanak.