LENGGONG: Lembah Lenggong yang lebih sedekad lalu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Memiliki bentuk muka bumi yang unik, meliputi bukit bukau, hutan, sungai dan tasik, ia menjadi daya tambah kepada pelancongan di Lenggong dalam segmen eko-pelancongan.

Dengan potensi yang ada di Lenggong, ia turut menarik perhatian komuniti aktiviti luar atau 'outdoor' ke daerah ini bagi menganjurkan pelbagai program.

Ia termasuk Kahf Lenggong Outdoor Festival 2023 (ODF23), festival pertama di Malaysia yang dilihat menyerlahkan potensi Lenggong sebagai lokasi penggemar aktiviti luaran. 

Penganjuran festival seumpamanya untuk kali kedua tahun ini - oleh Locco dan Majlis Daerah Lenggong, bertempat di Resort Tasik Raban pada hujung minggu lalu, bermula Jumaat (16 Jun) - berjaya mengumpulkan ribuan peminat dari seluruh negara dalam kalangan komuniti outdoor.

Menurut Pengarah Program ODF23 yang juga Pengarah Bersama Locco, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, inisiatif tersebut juga bagi mempromosi Lenggong sebagai sebuah kawasan yang kaya dengan tarikan pelancongan di Perak. 

Pemandangan Tasik Raban yang indah sesuai dijadikan 'port' untuk merakam gambar dan 'healing' - Foto/Ig: BrightLife.my

"Seramai 1,500 peserta mengambil bahagian, disokong lebih 35 kumpulan komuniti, bersama barisan penaja lain.

"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk perkhemahan, berkayak, memanah, merentas desa, sukan air serta beberapa bengkel kemahiran dan forum," jelasnya kepada Astro AWANI pada Ahad. 

Selain itu, jelasnya, komuniti setempat seperti operator bot, restoran dan pengusaha penginapan turut terlibat merealisasikan ODF23, yang juga membantu merancakkan ekonomi tempatan. 

Aktiviti Stand Up Paddling dan berkayak antara acara air yang menarik disediakan sepanjang ODF23 berlangsung di Lenggong - Foto/Ig: BrightLife.my

Antara lain, Skycamp by Skytrex yang bertapak di Sungai Lepoh, Hulu Langat, turut menyertai ODF23 dengan menyediakan penginapan secara perkhemahan kepada pengunjung.

"Kami teruja untuk menyertai ODF23 kali ini kerana bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman berkhemah, namun dapat juga dekatkan diri dengan keindahan alam terutamanya pemandangan Tasik Raban.

"Sambutan sangat menggalakkan dan kami akan terus bekerjasama secara rapat dengan komuniti outdoor untuk sama-sama menyemarakkan aktiviti riadah ini dalam kalangan masyarakat," jelas Pengasas Skycamp by Skytrex, Jaslin Puasa. 

Hanis (kiri), Shamsul (tengah) dan Jaslin (Kanan) ketika ditemubual di ODF23 - Foto/HafiziRosli

Lebih menarik, ODF23 ini juga disertai oleh penaja Anbot yang turut membawakan konsep glamping.

"Kami bawakan konsep glamping untuk beri keselesaan kepada pengunjung kali ini. Ia dapat memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa aktiviti berkhemah ini sangat menyeronokkan.

"Kami cukup teruja menjadi salah satu penaja dalam ODF23 dan pastinya akan bawa pendekatan berbeza pada masa akan datang dengan turut berkongsi ilmu, maklumat mengenai aktiviti outdoor," jelas Pengarah Urusan Anbot, Hanis Bakri.


Aktiviti di malam hari turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan untuk menghidupkan suasana di ODF23 - Foto/Ig: BrightLife.my

Selain aktiviti outdoor, pengunjung juga tidak ketinggalan dihiburkan oleh persembahan artis tempatan serta pertandingan.

Dengan penganjuran festival sebegini di Lenggong, ia menjanjikan pengalaman yang cukup menarik dan ketenangan sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Antara pengunjung yang hadir nyata gembira dengan pengalaman dan pengisian sepanjang ODF23 berlangsung - Foto/Ig: BrightLife.my