Kepada masyarakat di negeri Pantai Timur khususnya Terengganu, nekbat merupakan makanan tradisi dan lazimnya menjadi juadah wajib pada setiap sambutan Ramadan.
Bagi seorang pengusaha, Maimun Embong, nekbat memiliki nilai eksklusif tersendiri kerana ia hanya dijual pada bulan Ramadan sahaja.
Apa yang menyebabkan nekbat jualan Maimun istimewa ialah jualannya hanya terhadap pada jumlah tempahan diterima.
Sudah lebih 20 tahun menjual nekbat, pada setiap hari sepanjang Ramadan, Maimun bersama anak dan menantunya menghasilkan sekitar 4,000 nekbat.
"Seawal jam 6.30 pagi kami akan memulakan rutin membuat nekbat sehingga jam 12 tengah hari dan akan menyambungnya kembali pada sebelah malam.
"Walaupun kami hanya membuat nekbat ini hanya di bulan puasa, namun permintaan yang diterima sangat memberangsangkan. Setiap hari ada sahaja tempahan yang diterima," katanya ketika ditemui Astro Awani di kediamannya di Kampung Tualang, Manir, di sini.
Seiring perkembangan sama dan selain tidak menang tangan menerima tempahan, nekbat hasil air tangan Maimun kini tidak lagi dibakar menggunakan dapur kayu seperti sebelum ini.
Sebaliknya, usahawan berusia 54 tahun itu kini beralih menggunakan ketuhar yang besar untuk menggandakan jumlah nekbat yang dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, meskipun hanya menggunakan dua bahan namun untuk menghasilkan nekbat ini bukannya mudah.
Ibu kepada empat cahaya mata itu juga berhasrat untuk mewariskan pembuatan nekbat kepada anaknya bagi mewarisi tradisi keluarga.
"Saya mula belajar dan mewarisi ilmu membuat nekbat ini daripada keluarga… (saya) merupakan generasi ketiga yang masih mengusahakannya,” cerita Maimun lagi.
Nekbat, katanya, berupaya tahan sehingga tiga hari pada suhu bilik dan tahan lama sehingga setahun jika diletakkan di tempat sejuk beku.