SEBELUM ini, mungkin ramai dalam kalangan kita tidak pernah sedar tentang masalah mulut berbau.

Namun, sejak amalan pemakaian pelitup muka sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus, bau mulut senang dikesan terutama apabila berkomunikasi.

Adakah normal jika seseorang mempunyai masalah nafas atau mulut berbau yang dalam istilah perubatan disebut sebagai ‘halitosis’?

Nafas atau mulut berbau boleh dialami oleh semua orang terutamanya sejurus bangun daripada tidur atau selepas mengambil makanan atau minuman tertentu.

Nafas berbau boleh menyebabkan seseorang berasa segan dan rendah diri. Keadaan ini juga boleh mengganggu hubungan anda semasa berkomunikasi secara dekat dengan orang.

Memetik informasi kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berikut punca berlakunya masalah halitosis dan bagaimana cara untuk mengatasinya:


Tidak mengamalkan penjagaan kesihatan mulut dengan betul

Antara amalan yang sentiasa dipandang remeh oleh sesetengah invidu adalah tidak berkumur selepas makan atau minum, tidak memberus gigi, lidah dan rongga mulut sekurang-kurangnya dua kali sehari di waktu pagi dan malam sebelum tidur.

Pastikan anda memberus dan juga menggunakan benang flos dengan betul setiap hari kerana ini akan membuang bakteria dan juga lebihan makanan yang digunakan oleh bakteria untuk hidup.

Dengan ini bakteria tidak akan menghasilkan sulfur yang menyebabkan mulut anda berbau.

Tempoh berkesan menggosok gigi dan membersihkan lidah yang disyorkan ialah dua hingga tiga minit.

Selain itu, ramai juga terlupa untuk membersihkan lidah semasa menggosok gigi.

Ini penting kerana rekahan pada lidah dan juga di bahagian belakang lidah merupakan tempat paling banyak bakteria berkumpul.


Pengambilan makanan dan minuman yang berbau atau kandungan gula yang tinggi

Pengambilan makanan dan minuman yang berbau atau kandungan gula yang tinggi seperti petai, jering, durian, bawang putih atau minuman beralkohol juga merupakan punca kepada nafas kita menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

Justeru, bau nafas boleh dikawal dengan pengawasan diet yang betul. Sebagai contoh, anda disarankan untuk meminum air sekerap yang boleh sepanjang hari.

Minum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi dan juga melembabkan mulut boleh membuatkan suasana mulut kurang sesuai untuk pembiakan bakteria anaerob.

Selain itu, elakkan tabiat yang tidak sihat seperti merokok atau minum alkohol.


Pengambilan ubat-ubatan

Tahukah anda bahawa pengambilan ubat-ubatan seperti antihistamin, decongestant, antidepression, antipsychotic dan lain-lain juga menyumbang kepada masalah halitosis?

Kesan pengambilan ubat-ubatan akan mengakibatkan pengurangan pengeluaran air liur atau menyebabkan mulut kering.

Fungsi air liur adalah untuk membilas mulut sepanjang masa dan dengan ini secara tidak langsung membuang cebisan kecil makanan dari permukaan gigi.

Sekiranya anda tidak dapat memberus gigi selepas makan atau mengambil ubat berkenaan, anda boleh mengunyah gula getah tanpa gula.

Gula getah membantu membersihkan sisa-sisa makanan dan merangsang pengeluaran air liur.


Keadaan kesihatan

Keadaan kesihatan juga merupakan salah satu punca masalah halitosis. Penyakit seperti diabetes, penyakit hati, penyakit salur alimentari atau pemakanan (esofagus dan perut) antara jenis penyakit menyebabkan nafas kita berbau.

Sementara itu, penting juga untuk anda memeriksa kesihatan gigi. Ini kerana penyakit gusi (periodontal problem) adalah disebabkan jangkitan kuman pada gusi dan juga pada ligamen yang memegang gigi.

Ini menyebabkan poket gusi menjadi dalam dan bakteria suka bersembunyi di situ.

Antara tanda-tanda penyakit gusi ialah gusi bengkak dan merah, gusi yang senang berdarah dan karang gigi.

Oleh itu, anda diingatkan untuk membuat pemeriksaan dengan doktor gigi secara berkala.

Doktor gigi boleh merawat penyakit gusi dan membersihkan gigi anda daripada plak dan karang gigi yang seterusnya boleh menghilangkan bau pada mulut anda.

Dengan mengetahui punca-punca berikut, masalah mulut berbau boleh diatasi dengan segera.