LAS VEGAS:DUA tahun mengikat tali pertunangan, wanita ini nampaknya sudah hilang sabar.

Dalam sebuah video TikTok yang tular, seorang wanita di Las Vegas 'mengamuk' di sebuah pasaraya, meminta tunangnya agar mengahwininya.

Lengkap dengan gaun pengantin, wanita itu hadir ke pasaraya berkenaan bersama seorang pengapit dan pastor untuk bertemu tunangnya yang bertugas di situ.

"Dua tahun lepas awak sarungkan cincin tunang ini dan sekarang masa untuk berkahwin atau kita putus sahaja," itu yang dikatakan wanita itu kepada lelaki berkenaan yang nampak begitu terkejut dengan kehadirannya.

"Kenapa tak ada orang beritahu saya dia datang?" lelaki itu bertanya kepada rakan-rakan sekerja yang memerhatikan insiden itu.

Sedar kekecohan itu menarik perhatian ramai, wanita itu sempat mengucapkan hello, sambil menjelaskan apa yang dilakukan adalah dengan niat mahu tunangnya menunaikan komitmen seperti dijanjikan.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada insiden tersebut satu lakonan atau kejadian sebenar, malah tidak diketahui jika pasangan itu sudah selamat berkahwin atau tidak.