SINGAPURA: McDonald's Singapura akan mula mengenakan caj kepada pelanggan untuk paket perasa tambahan melebihi jumlah standard yang diberikan, bermula 2 Jan tahun depan, menurut pengumuman syarikat makanan segera itu, lapor Xinhua.

Di bawah dasar baharu itu, sos seperti BBQ, Kari dan Madu Mustard akan dikenakan caj S$0.50 (RM1.70) setiap paket jika pelanggan meminta paket tambahan. Bagi perasa salad, seperti Bijan Panggang Jepun, harganya ditetapkan pada S$0.70 setiap paket.

Namun, sos tomato dan cili bawang putih, dua perasa utama, akan terus diberikan secara percuma "berdasarkan jumlah tetap setiap pesanan makanan," menurut laman sesawang syarikat itu.

McDonald's Singapura menjelaskan dasar ini sebagai satu langkah untuk "membantu menguruskan sisa makanan dan kos makanan yang semakin meningkat," yang digambarkan sebagai "cabaran berterusan" di seluruh industri makanan dan minuman.

Dasar serupa yang mengenakan caj untuk perasa tambahan telah berkuat kuasa selama bertahun-tahun, tetapi tidak dipraktikkan, lapor media tempatan.

Seorang petugas di sebuah cawangan di tengah Singapura mengesahkan kepada Xinhua yang pelanggan masih boleh meminta sos tambahan secara percuma buat masa ini, tetapi "tidak pada tahun depan". Sos tomato dan cili bawang putih tanpa had disediakan di mesin pengedar layan diri di kedai.

Bagi memaklumkan pelanggan, satu poster diletakkan di kaunter pengambilan di kedai dengan slogan, "SUKA SOS KAMI? TAMBAH LAGI HANYA 50c SETIAP SATU", bersama kod QR yang memberikan maklumat lanjut mengenai dasar itu.

Pengumuman itu menerima reaksi berbeza. Sesetengah pelanggan menyuarakan ketidakpuasan hati, dengan berkata harga McDonald's sudah tinggi. Syarikat itu juga telah menambah bahagian maklum balas di laman sesawangnya untuk menangani kebimbangan daripada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perubahan tersebut.

"Kami memohon agar pelanggan kami memahami hal ini dan berharap mereka akan terus menikmati makanan dan sos yang mereka suka," kata McDonald's Singapura. (S$1.00 bersamaan dengan AS$0.75)

-- BERNAMA