Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah semua pihak perlu mengutamakan aspek pencegahan kesihatan dengan mengambil ubat-ubatan yang diiktiraf selain mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Baginda bertitah terlalu banyak iklan dan penjualan produk makanan kesihatan, ubat-ubatan serta produk kosmetik yang didakwa boleh menyembuhkan hampir semua jenis penyakit.

"Biasanya produk-produk berkenaan tidak mempunyai kajian saintifik yang terbukti berkesan terhadap kesihatan sebaliknya hanya bergantung kepada testimoni yang direka-reka sahaja.

"Sehubungan itu, selain kesedaran di pihak pengguna pihak berwajib juga disaran untuk meningkatkan usaha penerangan kepada masyarakat berkenaan perkara ini selain mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga dan pengedar produk-produk berkenaan," titah baginda.

Baginda bertitah ketika berkenan berangkat merasmikan Bangunan Blok B yang menempatkan wad rawatan ibu dan anak di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid diiringi Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Baginda juga berharap rakyat turut rajin mencari pengetahuan tentang bahaya pengambilan produk yang tidak diiktiraf serta peka mengenai isu-isu yang melibatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan dalam negara.

Selain itu, baginda berharap dengan adanya blok baharu hospital itu, seluruh warga Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan HTF khususnya agar sentiasa mengekalkan kecekapan perkhidmatan yang berkualiti serta disenangi masyarakat.

Di pihak rakyat pula perlulah memanfaatkan kemudahan kesihatan sebaik-baiknya dengan

bersabar, mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menjaga tatasusila ketika berurusan dengan seluruh kakitangan hospital.

Blok bangunan baharu setinggi tujuh tingkat yang siap dibina pada 2015 itu berkeluasan 27,457 meter persegi, menelan belanja RM193 juta antaranya menempatkan wad Obstetrik dan Ginekologi, Paediatrik, dewan bedah, Farmasi dan wad Diraja

-- BERNAMA