Inisiatif oleh usahawan, Syahrina Ahmad, bermula dengan perkongsian idea bersama rakan rapat dan saudara-mara yang memberi sokongan seterusnya menyalurkan sumbangan tunai.
Menerima sambutan yang memberangsangkan, dia kemudian memperluaskan usaha itu dengan membuka sumbangan daripada orang ramai melalui perkongsian di media sosial.
Kayanya, usaha kecilnya itu diharap dapat membantu ramai umat Islam di Tampin menikmati apam balik secara percuma manakala penyumbang pula dapat mengumpul ‘saham’ di bulan mulia ini.
“Saya mengambil pendekatan ini kerana saya faham dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai yang terkesan serta mempunyai bajet tertentu setiap kali mahu membeli juadah berbuka puasa.
“Boleh dikatakan setiap hari ramai yang infak duit dalam menjayakan program ini. Hasil kutipan infak itu, saya akan sediakan lebih kurang 50 hingga seratus keping apam balik dalam sehari untuk diedarkan secara percuma.
“Sebenarnya idea program ini bermula sejak saya mula berniaga lima tahun lalu. Saya berharap dapat memberi senyuman kepada penerima setiap hari, insya-Allah,” katanya kepada Astro AWANI.
Ibu tiga anak berusia 39 tahun ini memberitahu, sebahagian daripada hasil jualan harian juga diserahkan kepada tabung pembinaan Maahad Tahfiz di Negeri Sembilan.
Menurutnya lagi apam balik dengan inti kacang, jagung, coklat, strawberi dan banyak lagi tersedia di gerainya setiap hari untuk diedarkan secara percuma.
"Setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan. Dalam masa sama, saya juga menerima tempahan individu yang ingin infak juadah untuk berbuka puasa dan moreh di surau atau masjid berhampiran,” katanya yang turut menjual apam balik bersaiz besar itu pada harga antara RM5 hingga RM8.