DODOL atau lebih popular disebut penganan oleh masyarakat Negeri Sembilan adalah antara hidangan tradisi wajib yang akan dibuat setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Namun begitu, proses pembuatannya bukanlah semudah disangka kerana ia memerlukan semangat serta kesabaran yang tinggi.
Menyediakan penganan boleh memakan masa sehingga lima hingga tujuh jam, bergantung kepada jumlah tenaga kerja, kepakaran mengendalikan suhu api serta teknik mengacau, bagi memastikan kualiti yang terbaik.
BALIK 'MENGACAU'
Lazimnya ahli keluarga akan merancang terlebih dahulu tarikh 'mengacau' (merujuk kepada aktiviti bergotong-royong mengacau penganan) bagi memastikan seluruh ahli keluarga dapat sama-sama berkumpul dan berbahagi tugas masing-masing.
Bermula dengan penyediaan kelapa tua dan santan dalam kuantiti yang banyak, bahan lain yang diperlukan untuk membuat penganan ialah tepung pulut, gula pasir selain 'resipi rahsia' gula enau yang membuatkan dodol negeri adat perpatih itu mempunyai keistimewaannya tersendiri.
Dahulu di kampung-kampung, usai bersahur ahli keluarga akan mula sibuk memesin kelapa sebanyak yang diperlukan, kemudian memerah kelapa yang sudah diparut untuk mendapatkan santan dan menyalakan kayu api. Selepas solat Subuh, kawah akan ditenggekkan di atas tungku sebelum kesemua bahan dimasukkan ke dalamnya.
Bermula dengan tekstur yang cair, lama-kelamaan ia akan bertukar tebal dan likat sekali gus semakin sukar untuk dikacau. Ketika inilah ia menuntut kesabaran yang tinggi 'tukang pengacau' yang akan bertukar-tukar 'baton' (bertukar tangan kayu pengacau) antara satu sama lain lebih-lebih lagi sedang berpuasa, ditambah terik mentari, bahang serta asap api kayu.
KEKAL WARISAN KELUARGA
Tidak mahu menu tradisi itu terus luput ditelan zaman apatah lagi sukar untuk menyaksikan aktiviti 'mengacau' kekal menjadi warisan khususnya dalam kalangan 'anak nogori', Nor Akmar Atan yang mesra di sapa Kema, 36, tekad meneruskan usaha yang dibuat oleh Wannya (Wan panggilan untuk nenek dalam loghat Negeri Sembilan).
"Saya anak jati Negeri Sembilan dan membesar di Kampung Keru, Batu Kikir, Jempol. Semasa belajar saya ambil bidang Software Engineering di UniKL dan sempat melalui latihan praktikal selama empat bulan di Korea Selatan.
"Sebelum ini saya bekerja dalam bidang automotif selama tujuh tahun dan buat keputusan meletak jawatan pada tahun 2021 untuk berehat seketika dan mula meniaga penganan sepenuh masa. Sebenarnya lebih untuk menjaga mak, Mariam Duaji, 71, dan ayah, Atan Wahab, 74, sebab saya anak bongsu daripada enam beradik dan hanya saya yang belum berkahwin ketika itu.
"Saya memang tolong mak setiap kali kacau penganan sejak umur 17 tahun. Dulu saya boleh kata terpaksalah tolong sebab dalam enam beradik, saya dan abang yang nombor lima sahaja yang ada kemahiran kacau dodol.
"Tapi bila abang dah ada komitmen lain, memang saya yang banyak tolong mak. Setiap kali raya atau ada tempahan memang akan tolong mak kacau penganan. Masa tahun akhir di UniKL, dah ada kereta, masa tu nak bayar ansuran kereta memang berniaga penganan. Bila mula kerja saya jual penganan dengan kawan pejabat dan yang rapat sahaja," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kema yang fasih berbahasa Korea berkata, beliau berasa bangga dan berpuas hati apabila penganan tiga generasi yang menggunakan label 'KEMA JUAL DODOL' itu mendapat maklum balas yang cukup positif daripada pelanggan dengan komen seperti "dodol ni rasa sama macam nenek saya buat" dan "dodol ni rasa macam dulu-dulu".
"Saya yakin penganan ni ada peminat tersendiri dan boleh dijual. Allahyarhamah Wan dulu buat penganan tapi lebih kepada untuk makan sendiri dan berkongsi dengan jiran tetangga.
"Dulu, setiap kali 'mengacau', boleh kata kanak-kanak satu kampung akan datang berkumpul di rumah Wan untuk makan penganan," katanya menambah, resepi penganan diolah sedikit oleh ibunya bagi mendapatkan rasa dan tekstur yang terbaik.
PROSES PEMBUATAN
Berkongsi lanjut proses pembuatan penganan keluarga yang dibuat di rumah ibu bapanya di Kampung Keru itu, Kema yang mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun 2022 berkata, beliau menggunakan gula enau turus (gula enau batang yang di proses daripada nira pokok enau dan dibungkus dengan daun) kerana ia bukan sahaja akan menghasilkan bau yang wangi bahkan penganan juga menjadi lebih sedap dan lemak manis.
Menurut beliau, satu kawah boleh menghasilkan sebanyak 15 kilogram atau 30 bekas dan setiap bekas dijual pada harga RM17.
Keuntungan yang diraih hasil daripada jualan penganan mencecah sekitar RM4,000 sebulan kerana penganan masih dibuat secara tradisional tanpa mesin.
"Penganan ambil masa lebih kurang empat jam untuk dimasak dan ia perlu dikacau tanpa henti. Kalau berhenti, bimbang nanti akan hangus sebab banyak gula. Setakat ini saya ada seorang pembantu selain suami juga turut menyumbang tenaga.
"Permintaan penganan meningkat hingga tiga kali ganda ketika musim perayaan dan pelanggan kami dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Bagi yang kita tak boleh hantar, kita akan pos.
"Cuma setakat ini kita terhad dalam Malaysia sahaja kerana faktor penganan yang tak tahan lama kerana kami tidak menggunakan sebarang pengawet makanan bagi tujuan mengekalkan rasa aslinya," katanya menambah, servis penghantaran disediakan bagi pembeli di sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang bergantung kepada jarak dan kuantiti permintaan.
KOMERSIL PENGANAN
Penganan yang dihasilkan Kema boleh bertahan selama 10 hari tanpa berkulat jika diletakkan di luar, dan jika diletakkan di dalam bekas kedap udara dalam peti sejuk, ia boleh tahan selama dua bulan.
Setakat ini terdapat satu jenis dodol yang dihasilkan iaitu perisa biasa ataupun dipanggil 'penganan gula enau'.
"Tiada perisa seperti durian atau lain-lain. Cuma selalunya akan ada permintaan penganan cair iaitu penganan yang belum betul-betul kenyal. Kami buat penganan berdasarkan permintaan, jadi pembeli akan dapat penganan yang baru di masak sama ada baru sehari atau dua hari.
"Dulu saya buat penganan tiga kali seminggu, tetapi sekarang hanya hujung minggu pada Sabtu dan Ahad kerana baru kembali bekerja semula dalam bidang automotif dan menjadikan penganan sebagai pekerjaan sampingan," katanya menambah, selain untuk musim perayaan, pelanggan turut menempah penganan untuk majlis kahwin dan sebagainya.
Berkongsi antara cabaran perniagaan penganannya, Kema berkata isu logistik dan penghantaran terutama ke Sabah dan Sarawak yang memakan masa adakalanya menjejaskan kualiti penganan yang diterima pelanggan.
"Saya memasang impian untuk komersilkan penganan gula enau keluarga saya ini ke pasaran lebih besar bermula di kampung sendiri. Saya juga mahu membantu anak-anak kampung ini mendapatkan peluang pekerjaan," katanya.
Mereka yang berminat boleh menempah penganan di laman Facebook Nor Akmar Atan atau Instagram @kemajualdodol.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Apr 28 2023
Menyediakan penganan boleh memakan masa sehingga lima hingga tujuh jam, bergantung kepada jumlah tenaga kerja, kepakaran mengendalikan suhu api serta teknik mengacau. - Foto BERNAMA
EPL: Asensio, Disasi ikut langkah Rashford ke Aston Villa
Aston Villa membawa masuk pemain tengah Paris Saint-Germain, Marco Asensio dan pertahanan Chelsea, Axel Disasi secara pinjaman.
Isu Harith Iskander, Cecilia: Polis akan hantar kertas siasatan ke DPP secepat mungkin - KPN
Kertas siasatan membabitkan pelawak Harith Iskander dan Cecilia Yap Song berhubung kes menghina Islam akan dihantar ke pihak pendakwa raya secepat mungkin.
Zambry sahkan terima surat peletakan jawatan Naib Canselor UKM
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman.
Guru didakwa lakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki
Seorang guru didakwa lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar lelakinya pada tahun 2023.
Zayn Rayyan: 25 Feb dengar hujah notis usul batal pertuduhan
Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Feb ini bagi mendengar hujahan berhubung notis usul difailkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membatalkan pertuduhan.
Agong terima menghadap Panglima Angkatan Tentera
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar di Istana Negara hari ini.
Thaipusam: Penumpang komuter Lembah Klang nikmati tambang percuma dua hari
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari sempena Thaipusam bermula 10 Feb.
Muhyiddin mahu cabar Akta Hasutan di Mahkamah Persekutuan
Muhyiddin yang berdepan satu kes hasutan ketika kempen PRK DUN Nenggiri akan merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
Polis rakam keterangan wanita dakwa bakal kahwin Tengku Hassanal
Polis telah merakam keterangan seorang wanita yang mendakwa akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sekolah ditutup, langkah berjaga-jaga diambil di Greece
Sekolah-sekolah di Pulau Santorini Greece, destinasi pelancongan popular di Laut Aegean, ditutup pada Isnin ketika pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga berikutan beberapa siri gempa bumi pada hujung minggu.
Lemak manis penganan gula enau warisan tiga generasi
Proses pembuatannya bukanlah semudah disangka kerana ia memerlukan semangat serta kesabaran yang tinggi.