PASANGAN yang menjadi sensasi media sosial gara-gara lamaran di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi perlawanan Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Myanmar baru-baru ini, menerima hadiah istimewa dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, menghadiahkan bola yang digunakan pada malam tersebut (match ball) sebagai tanda kenangan untuk diabadikan pasangan Dr G. Roshan dan Shinna Teh.

Match ball biasanya diberikan sebagai cenderahati kepada pemain yang menjaringkan hatrik, namun berbeza kali ini apabila ia diberikan kepada pasangan itu.

"Kami di FAM berasakan kejutan ini mungkin yang pertama diadakan di Stadium bola sepak negara kita.

"Ia satu kelainan tetapi kami di FAM ingin turut sama meraikan kejutan ini," kata Stuart seperti yang dipetik di laman Facebook rasmi FAM.

Sementara itu, Roshan memaklumkan kejutan itu sudah dirancang sejak tiga minggu lalu dan dia juga sudah mendapatkan restu keluarga kedua-dua belah pihak.


"Kami gemar menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium, jadi saya mahu menjadikan malam itu sebagai satu detik istimewa buat kami berdua," kata doktor pakar tulang belakang itu.

Pada perlawanan Sabtu lalu, Roshan, 27 tahun, melamar Shinna, juga 27 tahun, yang sudah dikenali sejak empat tahun lalu, disaksikan puluhan ribu penonton di stadium.

Lebih istimewa, lamaran itu juga dipancarkan di skrin besar di stadium, sekaligus menarik perhatian netizen yang kemudiannya berkongsi gambar papan skrin itu ke media sosial.