KUALA LUMPUR: Membawa nama Malaysia ke peringkat dunia, kucing baka British Shorthair, SC Zainiza Elwin bakal bersaing dengan kucing dari seluruh dunia di Federation International Feline World Show 2022 (FIFe 2022) di Mechelen, Belgium.

FIFe berkenaan yang merupakan pertunjukan kucing peringkat antarabangsa tahunan anjuran Felis Belgica berlangsung pada 29 dan 30 Oktober ini.

Pemilik kucing berkenaan, Haniza Kong ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan dia kini sudah berada di Mechelen, untuk membawa Elwin yang menjadi salah seekor kucing terpilih menyertai pertunjukan peringkat antarabangsa itu.

“Sebelum ini Elwin pernah sertai banyak pertunjukan kucing di Malaysia. Sejak usia lima bulan lagi, saya dan suami (Mohd Zain) selalu membawa Elwin berada di khalayak ramai.

“Pada November 2016, Elwin sudah dibawa bertanding di FIFe International Show di Jakarta. Waktu itu Elwin masih berusia setahun enam bulan.

“Sekarang usia Elwin sudah mencecah tujuh tahun. Alhamdulillah dia nampak tenang setiap kali sertai pertunjukan kucing,” jelas Haniza.

Kredit: Astro AWANI

Tambah Haniza, Elwin juga merupakan kucing baka Pedigree British Shorthair pertama yang lahir di Malaysia bertanding di luar negara.

Katanya, Elwin juga mudah menyesuaikan diri dengan suasana baharu hasil daripada penyertaan beberapa pertunjukan sebelum ini.

Pernah dinobatkan sebagai juara di FIFe International Pedigree, Elwin juga merupakan baka kelahiran Malaysia yang pertama meraih pencapaian tertinggi di pertunjukan itu.

“Sifatnya yang tenang ditambah wajahnya yang comel mungkin menambat hati para juri melihatnya.

“Elwin juga pernah memenangi di beberapa pertunjukan kucing anjuran FIFe- KKM International Show termasuk dinobatkan sebagai Best Malaysian Breed sebelum ini.

“Doakan Elwin berjaya menambat hati juri di sini pula, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Elwin turut ditemani personal groomer, Jennie Ying dari Cavieryn Cattery.

Kredit: Astro AWANI