Koperasi Tabung Haji Bhd (KTHB) dan Glass Go Media Sdn Bhd bekerjasama melancarkan portal membeli-belah patuh syariah 'Haqqi'.

Selain menawarkan keperluan asas haji dan umrah seperti ihram, kitab dan buku panduan mengerjakan ibadah, portal tersebut turut dilengkapi barang keperluan seharian dan fesyen meliputi pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak pelbagai jenama.

"Dengan adanya portal ini, pengguna kini boleh membuat pembelian dengan lebih mudah di hujung jari melalui telefon bimbit, tablet mahupun komputer di mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa," kata KTHB dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna boleh melayari laman sesawang www.haqqi.com.my selain boleh diakses menerusi aplikasi telefon pintar Lembaga Tabung Haji, 'Thijari' dan laman sesawang KTHB www.kthb.com.my. -- Bernama