Serasakan seperti baru sahaja kita menyambut Ramadan tahun lalu. Masa kini berjalan sangat pantas.
Namun begitu, Ramadan bulan paling istimewa buat Che Pah sekeluarga. Begitu juga kepada semua komuniti berketurunan Arab di Malaysia.
Kami anggap Ramadan bulan mengumpul keluarga dan sanak saudara.
Bulan mulia ini turut menyaksikan pelbagai aktiviti keagamaan bagi menghiasi setiap detik yang dijanjikan Allah dengan pahala berganda.
Ditakdirkan Ilahi Che Pah lahir dalam keluarga berketurunan Arab.
Moyang Che Pah iaitu Habib Aidrus bin Mohammad Al Habshi sebenarnya datang berhijrah ke Tanah Melayu. Habib Aidrus berasal dari sebuah daerah bernama Hawthah di Hadhramaut, Yaman.
Habib Aidrus datang untuk mencuba nasib di sini. Waktu itu mereka dari Yaman memanggil negara sebelah sini dengan panggilan Tanah Jawa.
Che Pah merupakan cicit dari susur galur Habib Aidrus. Datuk lelaki Che Pah iaitu Habib Mohdzar bin Ali Al Habshi juga berasal dari Hawthah.
Habib Mohdzar kemudiannya berkahwin dengan nenek Che Pah iaitu Sharifah Fatma bin Aidrus Al Habshi. Mereka berdua adalah sepupu.
Bertitik tolak dari penghijrahan serta perkahwinan inilah maka keluarga Che Pah berkembang di sini.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Keluarga berketurunan Arab ini sebenarnya punya tara cara kehidupan yang agak berbeza dengan masyarakat Melayu kita.
Kami punya jalur amalan hidup yang telah disiapkan oleh para leluhur kami. Tertib amalan dalam segala hal telah diaturkan. Tinggal kami mengikutnya sahaja.
Dalam sebuah keluarga berketurunan Arab, soal agama sangat dititikberatkan.
Dari sejak kecil ia telah dipasak kemas dalam diri kami. Umpama kita mendirikan rumah. Jika rumah kayu pasti ada tiang serinya. Manakala rumah batu pula pasti ada cerucuk yang ditanam bagi memastikan rumah yang dibina kukuh.
Begitulah kehidupan kami. Asas agama sangat dipandang berat. Soal solat nombor satu. Boleh hancur rotan yang hinggap di badan jika solat kami abaikan.
Begitu didikan kami. Jadi apabila sudah terbiasa dari kecil ketika dewasa ia sudah mendarah daging di dalam tubuh kami. Bagai aur dengan tebing. Tidak boleh terpisah lagi.
Begitu juga halnya dalam bulan puasa. Kami dididik dengan aturan kami yang tersendiri. Ramadan kami dihiasi dengan semangat silaturrahim serta aktiviti keagamaan yang lebih unik.
Biasanya dalam bulan Ramadan semua keluarga Che Pah akan berkumpul di rumah abang Che Pah iaitu Habib Idrus bin Ali Al Habshi.
Kami akan berbuka beramai-ramai. Adik-beradik, kakak sepupu, ipar duai dan anak saudara akan berkumpul dan kami berbuka puasa bersama sama.
Che Pah beruntung kerana Allah hadirkan seorang kakak ipar yang baik. Beliau suka memasak dan masakannya pula jangan cakaplah. Mak mertua lalu pun kita tidak mahu kerling.
Biasanya beberapa minit sebelum berbuka kami akan bersama sama mengalunkan zikir istighfar. Ini akan diikuti pula dengan doa mustajab khusus sebelum berbuka.
Seperti biasa kurma menjadi hidangan wajib. Selesai menjamah sedikit hidangan manis serta seteguk dua air, kami akan solat Maghrib berjemaah.
Selesai solat Maghrib barulah kami duduk menikmati hidangan berat. Bagi kami orang Johor apa lagi lauknya jika bukan asam pedas. Itu lauk wajib.
Waktu berbuka ini biasanya meriah dengan celoteh masing masing. Keluarga Arab ini jika bercakap agak riuh.
Kalau orang yang tidak biasa pasti ingatkan kami macam bergaduh. Itulah cara kami. Talian kekeluargaan kami sangat kuat.
Selesai makan, masing masing mula mengambil tempat di ruang solat. Bagi yang perempuan mula sibuk mengenakan telekung.
Anak saudara lelaki kembar Che Pah, Mohammad dan Mohdzar bin Idrus Al Habshi mula memainkan peranan. Mereka berdua telah diasuh untuk menggepalai zikir Ratib Al Haddad.
Usai azan Isyak, maka mereka berdua mula duduk tertib di ruang solat lantas memulakan ratib.
Setiap anak berketurunan Arab akan dilatih dengan ratib ini sejak dari kecil lagi. Ratib ini telah disusun oleh leluhur kami iaitu Habib Abdullah Al Haddad sejak beratus tahun dahulu.
Kami bawa dan amalkan sehingga kini. Sejak Che Pah berusia sewal enam tahun lagi walid Che Pah sudah mula membiasakan kami adik beradik dengan ratib ini. Jadi ia sudah tersimpan kemas dalam kalbu kami.
Selesai bacaan ratib, abang Che Pah pula mengambil tempat sebagai imam. Beliau mengimamkan solat Isyak dan kemudian diikuti solat Tarawih dan Witir.
Kami buat penuh 20 rakaat. Orang Arab selesaikan Tarawih cepat. Surah yang di baca juga pendek dan pantas. Jadi tidak sampai satu jam sudah selesai.
Sebelum solat Witir tiga rakaat disempurnakan, kami hiasi dulu dengan bacaan doa.
Kami sama-sama mengalunkan doa khusus yang disusun oleh moyang kami iaitu Habib Ahmad bin Zain Al Habshi. Doa ini telah disusun rapi oleh beliau sekitar 300 tahun yang lalu.
Leluhur kami tidak tinggalkan kami dengan ‘tangan kosong’. Mereka mahu anak cucu meneruskan amalan mereka. Dalam darah kami mengalir amalan mereka. Dalam setiap helaan nafas kami ditiupkan dengan semangat mereka.
Selesai dengan doa, kami teruskan dengan solat Witir. Ia kemudian diikuti dengan sebuah lagi doa yang dikarang pula oleh Habib Jaafar bin Ahmad bin Zain Al Habshi
Habib Jaafar adalah anak kepada Habib Ahmad bin Zain Al Habshi. Doa ini telah disusun serta ditulis sekitar lebih 200 tahun yang lampau.
Kami sama-sama mengaminkan doa. Kami yakin dengan baraqah dari doa yang diilhamkan serta ditulis dari tangan solaffussoleh.
Selesai doa, kami akan mengalunkan pula bacaan qasidah. Terdapat pelbagai ragam qasidah yang telah ditinggalkan buat kami untuk mengamalkannya.
Semua qasidah dinukil dengan bait kata kata yang sangat indah. Memuji Yang Maha Esa. Merayu agar kami dipandang dengan belas kasihanNya.
Di dalamnya turut juga mengadung permintaan agar diselamatkan semua umat Muslimin walau di mana sahaja berada.
Dalam qasidah, kami dididik dengan kasih sayang. Jauhi sifat pentingkan diri dan bangsa. Anggap kaum muslimin sebagai saudara. Jauhi sifat sombong. Didik diri agar kasih sayang jadi tunggak utama.
Selesai dengan qasidah, sekali lagi doa dari Habib Ahmad bin Zain Al Habshi dialunkan sebagai penutup.
Sebelum lupa, biasanya keluarga Che Pah akan mengadakan majlis berbuka puasa pada setiap malam Nuzul al-Quran. Kami panggil majlis khatam al-Quran.
Majlis ini kami warisi sejak turun-temurun lagi. Habib Aidrus mewariskannya kepada kami. Amalan ini dibawa dari kampung asal kami di Hawthah.
Masa Che Pah kecil dulu majlis ini biasanya akan dibuat di rumah dua orang datuk saudara Che Pah iaitu Habih Abdul Qadir Al Habshi dan Habib Jaafar Al Habshi.
Mereka bergilir menganjurkannya setiap kali Ramadan tiba.
Semua anak cucu dijemput. Meriah sangat rasanya. Beratus orang ramainya. Rasa macam Hari Raya Aidilfitri.
Inilah peluang kami mengikat erat talian saudara. Cerdik benar datuk nenek dulu. Mereka tahu taktik memperkukuh talian persaudaraan.
Kini walau datuk nenek sudah tiada, kami masih meneruskan amalan ini. Kami tidak biarkan ia berhenti di situ sahaja.
Kebiasaannya majlis akan diadakan di kampung halaman Che Pah di Muar Bandar Maharani Bandar Diraja.
Semua sanak saudara dari Kuala Lumpur, Melaka dan Johor akan dijemput.
Di waktu inilah kami mengambil kesempatan bermesra dan bertanya khabar sesama kami.
Ikatan kekeluargaan Arab sangat kuat sehinggakan anak serta cucu saudara dua pupu pun kami kenal. Itulah kami.
Kami berbuka puasa bersama-sama. Baca ratib bersama dan solat Tarawih bersama. Seronok benar rasanya. Udara kasih sayang dirasakan bertebaran di mana mana.
Inilah kisah kami. Leluhur kami sangat menjaga rapi anak cucu keturunan mereka. Mereka tidak mahu kami hidup tanpa pegangan ibarat layang layang yang putus talinya.
Walau mereka telah tiada namun amalan mereka tetap hidup di dalam tubuh kami. Mereka sentiasa memantau kami.
Bak kata pepatah ibarat ular menyusur akar takkan hilang bisanya.
* Syed Hashim Ali Al Habshi ialah seorang penulis bebas.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.