JIKA menunaikan haji atau umrah, lokasi yang mesti dikunjungi ialah Mekah dan Madinah.

Seandainya di Mekah, ibadat ditumpukan di Baitullah atau di dalam Masjidilharam, seboleh-bolehnya di hadapan Kaabah.

Jika di Madinah pula, tentunya Masjid Nabawi lokasi wajib dilawati.

Tidak kurang, jika ziarah Madinah, menjadi impian setiap jemaah haji atau umrah untuk mengunjungi Raudhah dan Makam Nabi Muhammad SAW yang terletak di kawasan Masjid Nabawi.

Namun, tidak semua orang bernasib baik berjaya merebut peluang keemasan itu kerana ada jemaah tidak mendapat kebenaran untuk masuk ke Raudhah.

Ini cerita tentang keajaiban rezeki masuki Raudhah menerusi aplikasi NUSUK, yang diperkenalkan pihak berkuasa Arab Saudi kepada semua jemaah yang menunaikan haji dan umrah sejak 2022.

Begini. Saya bersama suami menunaikan umrah selama 13 hari bermula 1 Mac 2024, menggunakan visa pelancong.

Ini kali ketiga, jadi kami memilih untuk mengendalikannya secara sendiri, tidak menggunakan ejen.

Penulis bergambar kenangan di pekarangan Masjid Nabawi, Madinah.

Memandangkan 11 Mac dijangka 1 Ramadan 1445H, kami memilih untuk berada di Madinah dahulu sebelum berharap ada rezeki berpuasa di Mekah. Jadi, saya berada di Madinah 1 hingga 5 Mac, selebihnya di Mekah.

Sejak sebelum berlepas sekali pun, saya tidak lepaskan peluang muat naik aplikasi NUSUK untuk tujuan masuki Raudhah.

Dua kali sebagai jemaah umrah sebelum ini (2011 dan 2017), NUSUK belum diperkenalkan.

"NUSUK ini wajib, kalau tiada NUSUK, tiada peluang masuki Raudhah," kata teman-teman yang pernah guna aplikasi NUSUK dan berpeluang masuki Raudhah.

Aplikasi NUSUK diperkenalkan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memasuki Raudhah kepada semua jemaah yang menunaikan haji dan umrah sejak 2022.




Untuk rekod, Kementerian Haji dan Umrah melancarkan NUSUK pada 2022, iaitu platform digital bersepadu Arab Saudi yang menawarkan pintu masuk perancangan yang mudah digunakan untuk perjalanan jemaah umrah dan pelawat ke Mekah dan Madinah. Dan, ini termasuk permit memasuki Raudhah.

Tetapi, beberapa kali cubaan, dari Malaysia sehingga berada di Madinah, usaha mendapatkan permit untuk masuk ke Raudhah, gagal. Tiada tempat, semua tarikh penuh.

"Cuba refresh apps pada hari Jumaat, sistem akan perbaharui setiap Jumaat, sebelum waktu solat Jumaat," pesan seorang rakan yang berjaya tembusi NUSUK dan peroleh permit masuki Raudhah sebagaimana dikatakannya.

Saya gigih cuba, setiap lima minit saya periksa, tetapi tetap gagal. Saya tanyakan ejen yang membawa jemaah umrah jika boleh selitkan saya seorang untuk masuki Raudhah menerusi syarikatnya, atas kapasiti umrah bukannya pelancong.

"Ada juga jemaah visa umrah saya pulang tanpa dapat masuk Raudhah, tidak dapat permit menerusi NUSUK."

Jawapannya pasti buat saya kecewa dan berkata pada diri sendiri, mungkin juga tiada rezeki saya bersolat di Raudhah kali ini.

Rezeki yang tertulis

Dua hari terakhir sebelum saya dan suami mahu bergerak ke Mekah untuk umrah, ada seorang rakan media, Ain baru tiba di Madinah.

Melalui komunikasi di WhatsApp, kami merancang untuk berjumpa.

"Datanglah, dalam jam 9 pagi, ada ceramah sebelum kami lakukan ziarah dalam," kata Ain.

Sepanjang pertemuan itu, kami ada bercerita mengenai NUSUK dan peluang untuk masuki Raudhah.

Secara kebetulan Ain mendapat permit masuki Raudhah pada jam 10:30 pagi. Ya, mereka memegang visa umrah, saya pemegang visa pelancong. Semuanya diselesaikan oleh ejen, termasuk mendapatkan giliran masuk ke Raudhah melalui aplikasi NUSUK. Kalau begitu, boleh selitkan saya seorang?" tanya saya.

"Boleh, Insya-Allah, ada rezeki nanti," kata Ain, tanpa saya ingat bahawa aplikasi NUSUK adalah mengikut apa yang sudah didaftarkan. Iaitu, pemilik telefon bimbit, itulah pemilik akaun NUSUK.

Seperkara lagi, semasa kunjungan kali ketiga ini, pada 23 Januari 2024, penguasa di Masjid Nabawi telah mula melaksanakan mekanisme baharu untuk jemaah yang melawat Raudhah di Masjid Nabawi.

Antara lain, mekanisme baharu itu, yang sangat bergantung pada teknologi digital terkini, pengunjung hendaklah mengimbas kod bar di pintu pagar automatik, untuk masuk ke Raudhah.

Untuk lawatan ke Raudhah, selain mesti bermula melalui platform NUSUK, pengunjung akan dimaklumkan dalam pelbagai bahasa, tentang langkah yang perlu diikuti untuk melakukan lawatan.

Mesej akan diterima bagi pengesahan janji temu selepas membuat tempahan. Pelawat juga akan diingatkan tentang janji temu 24 jam sebelum tarikh lawatan, diminta  mengesahkan atau membatalkan dan tidak boleh menggunakan kod bar untuk lawatan sebelum masa yang ditetapkan.

Sebaik sahaja pengunjung tiba di halaman Masjid Nabawi, jemaah akan diarahkan, melalui skrin panduan, menuju pintu masuk yang ditetapkan untuk kunjungan itu.

Jemaah akan disambut oleh petugas terlatih dan dibimbing sepanjang lawatan. Sebelum tiba di Raudhah, pengunjung hendaklah mengimbas kod bar melalui pintu pagar automatik dan kemudian menuju ke ruang menunggu sebelum menyertai kumpulan untuk masuk.

Jemaah akan disambut oleh petugas terlatih dan dibimbing sepanjang lawatan.

Dan, kod bar ini perlu berkelip, tanda aktif sebelum dapat dibenarkan masuk. Terdapat sekurang-kurangnya empat "check-point" dengan dijaga pula polis-polis Arab Saudi yang tegas dan kuat suaranya sebelum perjalanan masuk ke dalam masjid menuju ke Raudhah.

"Wah, tidak lepas pemeriksaan saya kalau begini, sekali pun ikut dalam kumpulan jemaah yang visanya adalah visa umrah," kata saya kepada Ain.

Di aplikasi NUSUK saya, kod bar tidak aktif, tidak berkelip, sedangkan ini yang perlu ditunjukkan kepada polis di empat lokasi pemeriksaan.

"Saya tidak ikut kalau begitu, memang kalau begini, mesti diarah pusing semula," kata saya dengan nada reda tiada rezeki masuki Raudhah, walaupun sudah hampir untuk sampai di lokasi pertama pemeriksaan.

Tetapi, itulah, jika rezeki itu datang daripada Allah, maka, Allah juga yang akan memudahkannya.

"Ustaz, giliran saya jam 10 pagi, tetapi saya uzur, jadi saya boleh beri giliran saya kepada kakak ini," tiba-tiba anak remaja, Auni namanya, bersuara memecahkan perbualan saya dan Ain tentang soal rezeki.

"Ya boleh, janji, di telefon bimbit, aplikasi itu berkelip dan aktif. Tukar sahaja telefon atau masuk balik dalam NUSUK, tukar pemilik akaun," balas Ustaz yang membawa jemaah Ain dan adik Auni.

"Kita akan mohon untuk Auni masuk Raudhah esok atau lusa, atau bila-bila Auni sudah suci," sambung Ustaz itu, menyebabkan air mata gembira saya gugur, bersyukur dengan rezeki diberiNya.

Segalanya mudah selepas itu, saya dan Ain dan beberapa jemaah lain dalam kumpulan yang dibimbing Ustaz berkenaan lepasi sekatan dengan tenang tanpa berebut sehingga memasuki Raudhah.

Saya tidak henti-henti panjatkan kesyukuran di mana Allah sudah tetapkan ia adalah rezeki saya.

Sungguh, saya tidak tahu, rezeki itu jalannya melalui perjumpaan saya dengan Ain, seterusnya keuzuran Auni dan pertukaran nama di aplikasi NUSUK itu boleh direalisasikan.

Keluar dari tempat idaman itu selepas setengah jam bersolat dan berdoa, fikiran saya dipandu oleh hadis yang dinyatakan secara umum dari Jabir di mana Nabi SAW bersabda maksudnya: “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih utama daripada 1,000 kali solat di masjid lainnya selain Masjidil Haram. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 kali solat di masjid lainnya.” – (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Saya bersyukur, lain-lain tiada, sampai bila-bila.

Raudhah terletak di zon tenggara Masjid Nabawi atau lebih tepat, di hadapan makam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya.

Lima perkara perlu diketahui tentang NUSUK:

1. NUSUK dilancarkan dengan kerjasama dan perkongsian dengan Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi untuk menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan di seluruh ekosistem Visit Saudi termasuk memudahkan visa, permit, proses tempahan dan prosedur.

2. NUSUK dilancarkan pada 18 November 2022, menggantikan aplikasi Eatmarna, sehingga kini mengandungi empat bahasa iaitu Arab, Inggeris, Rusia dan Indonesia. NUSUK dalam Bahasa Melayu dilancarkan pada 2023.

3. NUSUK adalah antara inisiatif Program Pengalaman Jemaah Wawasan 2030.

4. NUSUK turut menawarkan pelbagai pakej dan program untuk menambah baik dan memperkaya pengalaman umat Islam mengunjungi Mekah dan Madinah. Platform elektronik mesra pengguna itu menawarkan lebih 120 perkhidmatan berkaitan urusan umrah, haji, ziarah dan percutian termasuk isu visa, penerbangan dan penginapan.

5. Sijil akan diberikan kepada pemilik akaun NUSUK yang selesai bersolat di Raudhah dan ia dikeluarkan secara digital dan boleh juga dicetak untuk dibuat kenang-kenangan.

Lima perkara perlu diketahui tentang Masjid Nabawi/Raudhah

1.  Raudhah merupakan salah satu dari ruangan di dalam Masjid Nabawai dan merupakan pusat tumpuan bagi jutaan jemaah yang datang untuk berdoa dan bersolat di taman ini. Lokasinya hanya berukuran kira-kira 22×15 m², terletak di zon tenggara Masjid Nabawi atau lebih tepat, di hadapan makam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya.

2. Pintu Raudhah ialah pintu 37. Pintu 32 bukanlah pintu masuk Raudhah. Ia hanya kawasan sebelah Raudhah sahaja di mana jemaah boleh masuk untuk ziarah wada’ dan memberi salam kepada Rasulullah dengan lebih dekat.

3. Permit Raudhah hanya sekali boleh dimohon dalam tempoh sebulan. Jika terlupa atau gagal hadir semasa slot diberikan, NUSUK akan "block" pemilik akaun selama sebulan dan lebih malang tidak lagi boleh mohon permit sama sekali.

4. Waktu masuk Raudhah menerusi aplikasi di platform NUSUK ialah bagi lelaki, 6 pagi – 11 pagi, 9.30 pagi – 12 pagi, manakala bagi wanita pula ialah 1 pagi, selepas solat Subuh, Zohor dan selepas solat Isyak.

5. Menziarahi kota Madinah mempunyai aura yang tersendiri terutamanya sebagai pengubat kerinduan dan pengukuhan cinta kepada kekasih hati seluruh kaum muslimin, Nabi Muhammad SAW. Raudhah atau Taman Yang Mulia, yang berada di dalam Masjid Nabawi semestinya antara lokasi yang sangat ingin dijejaki seluruh pencinta Rasulullah SAW yang berkunjung di Madinah.


* Azlinariah Abdullah ialah Editor Astro AWANI dan penerbit program Awani PAGI. Beliau menunaikan ibadah umrah pada 1-13 Mac 2024.

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.